PEMAIN tengah Manchester City, Phil Foden berkata, ketiadaan penonton jelas sekali memberi kesan terhadap permainannya tatkala pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) sekarang ini cuba menyesuaikan diri dengan suasana stadium kosong disebabkan peraturan ketat Covid-19.
Pasukan bimbingan Pep Guardiola kembali menyambung aksi kelmarin dengan Foden yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol ketiga ketika City mengalahkan Arsenal 3-0.
Bagaimanapun, pemain berusia 20 tahun itu berkata ketiadaan penyokong di Etihad sangat dirasai.
“Ia banyak memberi kesan kepada permainan. Terutama ketika anda berasa tertekan dan pasukan sedang diserang. Anda memerlukan penyokong untuk menaikkan kembali moral.
“Kita memerlukan bantuan dari diri sendiri dan mereka yang berada di bangku simpanan. Ketua pasukan pula sentisa berhubung dengan kita di atas padang.
“Ia memang sangat sukar tanpa penyokong dalam beberapa perlawanan selepas ini namun saya sedar kami mempunyai kemampuan untuk menang. Kami semua mempunyai suara dan perlu menggunakannya,” kata Foden.
Foden, yang baru beraksi tiga kali dalam kesebelasan utama musim ini, bersedia untuk menggunakan peluang apabila Pep Guardiola akan melakukan penggiliran skuad untuk mengharungi kepadatan jadual liga bagi tempoh enam minggu.
“Bos berkata semua orang harus bersedia kerana tidak semua orang dapat bermain setiap perlawanan sekarang, terutama dalam tempoh 90 minit.
“Semua orang harus berada dalam keadaan sedia. Beliau akan melakukan penggiliran jadi semua harus menggunakan peluang yang ada. Saya bersedia tidak kira siapa lawan yang kami akan tentang dan cuba memberikan aksi terbaik,” katanya.
Hanya satu perkara negatif buat City apabila kembali beraksi semula selepas tiga bulan liga terhenti iaitu kecederaan serius yang dialami Eric Garcia.
Pertahanan berusia 19 tahun itu dibawa ke hospital selepas bertembung dengan penjaga gol, Ederson.
City berkata, Garcia sudah dibenarkan keluar dari hospital dan akan dipantau dari masa ke semasa.
Sementara itu, jurulatih Watford, Nigel Pearson gusar gimik meletakkan suara penyokong bagi menggantikan tidak kehadiran penonton ke stadium akan menukarkan Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada ‘sitkom Amerika Syarikat’.
Semua perlawanan EPL, yang bersambung sejak Rabu lalu selepas tiga bulan ditangguhkan akibat Covid-19, dilangsungkan tanpa kehadiran penonton kerana menjadi sebahagian daripada protokol ketat kesihatan.
Sesetengah penyiar televisyen menawarkan penonton untuk mendengar suara rakaman penyokong ketika perlawanan berlangsung.
Manchester City pula meletakkan beberapa skrin di stadium untuk menunjukkan reaksi penyokong mereka ketika menonton kejayaan City mengalahkan Arsenal 3-0.
“Apa yang perlu kita buat ialah menyesuaikan diri dengan keadaan, stadium kami akan sama seperti stadium lain, tanpa penonton.
“Bagaimanapun, apa yang kami perlu buat ialah cuba berunding. Buat masa sekarang ia agak mustahil untuk membolehkan penyokong datang ke stadium bagi membantu kami kekal di EPL.
“Saya berharap pemain mampu mengetepikan aspek emosi dan cuba menyesuaikan diri dengan persekitran baru.
“Kami tidak terlalu berminat dengan konsep itu, saya tidak tahu sama ada anda suka sitkom Amerika Syarikat, saya tidak tahan mendengar bunyi rakaman ketawa. Jadi kami tidak bersetuju untuk mewujudkan suasana palsu,” kata Pearson.
Kekalahan 0-1 kepada Crystal Palace pada perlawanan terakhir sebelum saingan liga ditangguhkan menyaksikan Watford berada di kedudukan ke-17 liga dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan dari zon penyingkiran.-AFP