Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Terjerat cinta palsu, wanita awal 40-an rugi RM270,800
  • JENAYAH

Terjerat cinta palsu, wanita awal 40-an rugi RM270,800

Utusan Sarawak 1 day ago
GAMBAR hiasan.

MIRI: Seorang wanita tempatan berusia awal 40-an mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM270,800 dalam satu kes penipuan ‘love scam’semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan kejadian berkata laporan polis berkenaan diterima pada 7 Januari 2026 oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Miri.

Menurut beliau, kejadian bermula sekitar Oktober 2025 apabila mangsa berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai warganegara United Kingdom melalui aplikasi Facebook menggunakan nama Kenneth Liu Zhang, sebelum hubungan diteruskan melalui WhatsApp.

“Suspek memaklumkan akan datang ke Malaysia untuk bertemu mangsa pada 22 Disember 2025.

“Pada tarikh tersebut, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa sebagai pegawai kastam dan memaklumkan bahawa Kenneth Liu Zhang telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana membawa wang tunai melebihi had,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudiannya diminta membayar kompaun bagi membebaskan kenalannya itu.

“Atas arahan suspek, mangsa telah membuat 37 transaksi pindahan wang secara berperingkat ke beberapa akaun berbeza.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila pihak terbabit terus meminta bayaran tambahan dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, dan siasatan dikendalikan oleh Insp Sisim Abd Samad.

Sehubungan itu, PDRM menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada ketika berkenalan melalui media sosial, tidak mendedahkan maklumat peribadi serta berhati-hati menerima panggilan daripada individu tidak dikenali.

Orang ramai juga digalakkan membuat semakan dengan agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat yang sahih.

Mangsa penipuan siber yang baru membuat transaksi kewangan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

Semakan nombor telefon dan akaun bank suspek boleh dibuat melalui Semak Penipu CCID atau laman web semakmule.rmp.gov.my.

Orang ramai turut disaran mengikuti Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Amaran Jenayah Siber Polis Diraja Malaysia dan JSJK Sarawak bagi mendapatkan maklumat terkini modus operandi penipuan, serta menghubungi CCID Infoline 013-211 1222 (WhatsApp/SMS) untuk nasihat atau menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dalam talian.

Oleh Adum Liu

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Bekas Panglima Tentera Darat, dua isteri ditahan SPRM
Next: 48 warga asing ditahan dalam operasi imigresen di Kuching

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.