“SATU pengalaman cukup manis bagi saya, kenangan sampai akhir hayat saya dan kadangkala bila malam, saya teringat kembali, menangis dan sayu kerana sambutan yang diberi sangat di luar jangkaan.”
Itu antara titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai kenangan manis program Kembara Kenali Borneo, dalam wawancara bersama editor dan wartawan kanan media utama di Istana Negara baru-baru ini, sempena berakhirnya tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024.
Ketika bertitah pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat pemerintahan baginda selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16, 27 Januari pula, Al-Sultan Abdullah turut menyentuh mengenai Kembara Kenali Borneo itu yang bermula di Tawau, Sabah hingga ke Telok Melano, Sarawak dari 3 hingga 13 September 2023, sejauh 2,332 kilometer, iaitu melangkaui jangkaan asal 2,154 km.
Baginda menganggap program itu umpama mimpi indah yang tidak mungkin dapat dilupakan dan menzahirkan terima kasih kepada rakyat di kedua-dua negeri atas sambutan yang diberikan.
“Niat beta hanyalah untuk mengembara dari Sabah hingga ke Sarawak sambil menikmati keindahan alam serta bertemu rakyat jelata daripada pelbagai etnik dan kebudayaan.
“Tidak terlintas di fikiran untuk menerima sambutan yang begitu hebat. Ribuan rakyat jelata daripada pelbagai bangsa, agama dan suku kaum keluar memenuhi sepanjang jalan raya yang menjadi laluan beta tanpa mengira siang atau malam, panas mahupun hujan semata-mata untuk menyambut kehadiran beta sekeluarga,” titah Al-Sultan Abdullah sambil menginsafi hakikat bahawa kemuliaan peribadi seseorang bukan diukur daripada harta, wang ringgit, pangkat mahupun darjat.
Seri Paduka juga bertitah sehingga hari ini, baginda dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah masih lagi dibuai dengan pengalaman indah yang sukar digambarkan dan ada kalanya akan menonton semula semua video serta gambar dirakam sepanjang 11 hari kembara.
Bagi rakyat Sarawak dan Sabah, mereka amat berterima kasih kerana baginda berdua berkenan datang ke Borneo menjenguk kehidupan rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman termasuk rumah panjang melalui program kembara yang tidak pernah ada sebelum ini Yang di-Pertuan Agong berserta keluarga melakukan program sehebat itu di Borneo.
Yang lebih menarik perhatian rakyat ialah kemesraan baginda berdua melayan permintaan orang ramai untuk berswafoto, bergambar, menandatangani autograf dan bertegur sapa di sepanjang perjalanan. Ketika memandu kereta di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo, baginda tidak menghampakan, berkenan untuk berhenti, malah keluar dari kereta bersua dengan rakyat yang setia menunggu di tepi jalan atau bahu jalan.
‘Saya bukan orang politik’
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah umpama ‘ayah dan ibu’ yang sentiasa menyantuni rakyat tanpa ikatan protokol. Lantaran itulah, barangkali terlupa seketika akan kedudukan Seri Paduka berdua, ada sahaja ahli masyarakat terlepas cakap memanggil Al-Sultan Abdullah ‘pak cik Agong’ dan ‘abang Agong’ sementara Tunku Azizah pula disapa ‘kakak’.
“Terlebih dahulu, saya bukan orang politik, saya pak cik Agong.” Itu pembuka kata titah Al-Sultan Abdullah pada Majlis Santapan Diraja Bersama Komuniti di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), Sibu pada 12 September 2023.
Sifat ‘sporting’ dan kemesraan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah itulah antara yang akan dirindui rakyat selepas lima tahun bernaung di bawah pemerintahan Seri Paduka. Keterbukaan yang ditunjukkan pasangan diraja itu telah menarik perhatian dan mendekatkan rakyat dengan institusi diraja.
Bayangkan, seluruh negara bagaikan dikejut oleh fenomena ‘tsunami’ orang Borneo, melihat sambutan luar biasa dan hangat sekali diberikan oleh rakyat Sarawak dan Sabah pada program kembara itu apabila saban hari dipaparkan pihak media termasuk di televisyen mengenai peristiwa bersejarah 11 hari itu.
Rakaman video pasangan diraja ini ketika mempersembahkan lagu ‘Gurindam Jiwa’ dan ‘Pesanan Buat Kekasih’ di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), Sibu pada 12 September 2023 sempena program Kembara Kenali Borneo, turut mendapat sambutan hangat warganet.
Facebook (FB) Utusan Sarawak misalnya, yang menyiarkan semula rakaman video itu ditonton oleh lebih 4 juta warganet dengan 1.1 juta komen, yang semuanya positif sambil mendoakan kesejahteraan baginda berdua. Malah, video memaparkan baginda menyanyi lagu ‘Bekikis Bulu Betis’ dan lagu diubah suai ‘Siapa bilang gadis Sarawak tidak menarik’ ketika singgah di sebuah rumah panjang di Bintulu juga mendapat reaksi luar biasa warganet.
Antara peristiwa paling menarik perhatian umum adalah pertemuan singkat Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dengan anak istimewa Missclyen Roland yang dilahirkan dengan wajah dan tubuh berbulu lebat akibat sindrom congenital generalised hypertrichosis (CGH), bersama ibu bapanya ketika konvoi Kembara Kenali Borneo singgah di pekarangan Masjid Al-Falah, Kampung Penan Muslim Batu 10, Bintulu-Miri pada 10 September lalu.
“(Ketika pertemuan itu) Saya ambil, saya dukung (Missclyen), rasa kesian rasa sayang jadi saya cakap dengan Tuanku (Al-Sultan Abdullah) yang saya nak ambil (Missclyen) jadi anak angkat untuk membantu menanggung pelajaran dan perubatannya, bukan hendak ambil dia daripada keluarganya,” titah Tunku Azizah yang mengimbau memori pertemuan dengan kanak-kanak perempuan itu seperti dipetik laporan Bernama.
Detik berkenaan menjadi permulaan kepada hubungan antara keluarga anak kecil berusia dua tahun itu dengan pasangan diraja apabila Tunku Azizah berkenan mengambil Missclyen sebagai anak angkat.
Menitis air mata
Tunku Azizah turut berhasrat untuk melawat semula Missclyen pada Februari atau Mac ini.
“(Pada masa ini) kadang-kadang, saya ada telefon ayah dia, saya hubungi (keluarga Missclyen) selalu dan kita sekarang tengah cari ubat untuk merawat Missclyen,” titah Raja Permaisuri.
Apabila FB Utusan Sarawak menyiarkan berita dan gambar baginda berdua bersama anak istimewa Missclyen Roland ketika itu, ribuan warganet memberi reaksi dan sebahagiannya secara terbuka mengakui menangis terisak-isak selain memuatkan emoji menangis, bersimpati dan pada masa sama memuji keprihatinan Tunku Azizah yang sanggup mendukung Missclyen.
Air mata Raja Permaisuri sekali lagi berguguran di bumi Borneo dan sebelum itu pun, Tunku Azizah dilaporkan kerap sebak sepanjang perjalanan dari Sabah ke Sarawak, lantaran terharu melihat kesanggupan rakyat berhujan demi menunggu keberangkatan tiba baginda berdua serta keluarga termasuk Tengku Mahkota,Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Penjelajahan itu disifatkan sebagai satu pengalaman baharu yang secara tidak langsung memberikan peluang kepada rakyat mengemukakan masalah khususnya dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kedua-dua negeri itu.
Sambil menunjukkan sebahagian surat aduan diterima serta buku laporan tindakan diambil kerajaan susulan penjelajahan itu, Al-Sultan Abdullah dalam pertemuan dengan media baru-baru ini bertitah setiap projek pembangunan di Sabah dan Sarawak yang diumumkan kerajaan mesti dipantau serta dilaksanakan sebaik mungkin tanpa berlaku sebarang ketirisan.
Seri Paduka bertitah sekiranya berlaku ketirisan dalam setiap projek itu, maka penduduk di Sabah dan Sarawak akan ketinggalan dari aspek pembangunan berbanding rakyat di Semenanjung. Al-Sultan Abdullah bertitah peruntukan bagi projek pembangunan di Sabah dan Sarawak juga amat penting untuk dititikberatkan memandangkan saiz kedua-dua negeri yang lebih besar dari Semenanjung.
“Kita di Semenanjung ini harus bersyukur, segala kemudahan asas sudah ada, di sana (Sabah dan Sarawak)… kita tengok saiz (wilayah) Sabah dan Sarawak dua kali saiz besar berbanding Semenanjung.
“Jadi bayangkan hendak buat (bina) jalan kampung A ke kampung B, bandar A ke bandar B… di sini (Semenanjung) 200 kilometer (km), di sana (Sabah dan Sarawak) sekali ganda (dari aspek jarak), kosnya juga sekali ganda, maka peruntukan semua sekali ganda atau tiga kali ganda sebab itu faktor kewangan di sana amat penting,” titah Seri Paduka.
Disini, dipaparkan pantun Al-Sultan Abdullah ketika Titah Diraja pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat pemerintahan baginda selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Kuala Lumpur malam Sabtu lalu yang berbunyi:
Kapal belayar patah kemudi,
Ambil pelepah bawa berenang,
Orang Borneo peramah dan berbudi,
Hingga kini saya sekeluarga masih terkenang.
Tinggi merimbun pohon kelapa,
Tempat berteduh seisi keluarga,
Kembara Kenali Borneo payah dilupa,
Beribu tahun dikenang juga.
Daulat Tuanku!
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.