Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Terima kasih Cikgu Anita, jasamu dikenang baktimu kekal abadi
  • PENDIDIKAN

Terima kasih Cikgu Anita, jasamu dikenang baktimu kekal abadi

Utusan Sarawak 19 hours ago
SELAMAT BERSARA…Cikgu Anita Ginde bergambar bersama hadiah yang diberikan oleh guru-guru dan murid-murid pada majlis perpisahan di Sekolah St Michael and All Angels Entingan, hari ini. Foto: Norman B

KOTA SAMARAHAN: Suasana di Sekolah St Michael and All Angels Entingan hari ini sarat dengan emosi dan kenangan yang tidak terungkap apabila seorang figura pendidikan yang cukup dihormati, Cikgu Anita Ginde, secara rasmi menamatkan khidmatnya sebagai pendidik.

Beliau mengakhiri perjalanan kariernya selepas 33 tahun mencurah bakti mendidik anak bangsa, meninggalkan legasi yang cukup bermakna buat seluruh warga sekolah dan anak-anak muridnya.

Anita, yang telah menabur jasa selama 8 tahun di St Michael, dikenali sebagai seorang guru yang penuh kelembutan tetapi tegas dalam mengajar subjek Bahasa Melayu untuk Tahun 3 dan 4. Beliau bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi menjadi ibu kedua kepada ratusan pelajar yang pernah merasai sentuhan kasih sayangnya.

“Saya berasa sebak dan pilu kerana separuh daripada kehidupan saya telah diabadikan bersama murid-murid. Tidak terasa juga telah berlalunya 8 tahun bersama anak murid sekalian di St Michael,” luahnya dalam nada penuh emosi, sewaktu berucap dalam majlis perpisahan tersebut hari ini.

RAKAM KENANGAN… Anita Ginde bergambar kenangan bersama tenaga pengajar yang lain.

Anita meninggalkan legasi besar yang sukar ditandingi. Bagi beliau, mendidik bukan sekadar satu pekerjaan, tetapi satu amanah yang digalas dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang.

“Saya doakan semoga murid-murid terus berjaya dalam pelajaran serta kehidupan mereka masing-masing. Untuk sekolah, saya doakan semoga dipermudahkan segala urusan. Maju terus maju, St Michael,” ujarnya dengan penuh harapan.

Sebagai insan yang telah menabur bakti lebih tiga dekad dalam dunia pendidikan, Anita kini memilih untuk melabuhkan tirai tugas dengan perancangan yang sederhana namun bermakna, berehat secukupnya dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga yang sentiasa menyokong perjuangannya selama ini.

“Jika ada rezeki dan kesempatan, saya ingin melancong dan bersiar-siar bersama ahli keluarga saya,” tambahnya dengan senyuman tenang yang terselit kesyahduan.

Sementara itu, Guru Besar St Michael, Brown Sang Lagan, menyifatkan Anita sebagai seorang guru yang luar biasa.

“Beliau sangat komited dan cukup disayangi oleh anak-anak murid. Bukan mudah untuk mencari pendidik seperti beliau, sabar, penyayang, dan penuh dedikasi,” katanya.

SEBAK… Para pelajar berpelukan bersama Anita sebagai tanda terima kasih di majlis persaraannya.

Turut menyuarakan rasa sedih, Kimberly Almond Ballerina, murid Tahun 6, yang menzahirkan rasa terima kasih mendalam kepada Anita.

“Kami sedih, tapi kami akan selalu ingat jasa Cikgu Anita yang telah mendidik kami dengan penuh kasih. Semoga cikgu sentiasa sihat dan bahagia,” ujar Kimberly dengan suara yang bergetar menahan sebak.

Persaraan Anita menjadi bukti betapa pentingnya peranan guru dalam membentuk masa depan generasi muda. Sebagaimana kata pepatah, ‘guru ibarat lilin, membakar diri demi menerangi orang lain’ jasanya pasti terpahat dalam ingatan anak-anak murid untuk selama-lamanya.

Oleh Norman B

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: 118 pelajar B40, asnaf terima bantuan pendidikan TCS–MAIWP
Next: Pendidikan tulang belakang utama usaha bangunkan bakat tempatan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.