
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh anak Sarawak yang sentiasa menunjukkan semangat perpaduan, kebersamaan, serta kecintaan yang mendalam terhadap Sarawak yang tercinta.
Menurut beliau, Hari Sarawak merupakan detik penting bagi rakyat negeri ini untuk terus memperkukuhkan jati diri dan memperingati perjuangan pemimpin terdahulu yang membawa Sarawak ke arah kemajuan dan keharmonian.
Dalam pada itu, Roy turut hadir memeriahkan jamuan makan tengah hari santai sempena sambutan Hari Sarawak yang diadakan di Bangunan Parlimen Malaysia, hari ini.
Majlis penuh mesra itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri ynag juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof bersama barisan menteri dan timbalan menteri Persekutuan.
Dalam suasana santai dan kekeluargaan, majlis tersebut menjadi wadah penting untuk merapatkan hubungan silaturahim serta mengukuhkan ikatan perpaduan dalam kalangan pemimpin dan wakil rakyat Sarawak di peringkat persekutuan.
Roy berkata, semangat ‘Segulai Sejalai’ yang menjadi teras perpaduan di Sarawak perlu sentiasa disemai dan diperkukuhkan demi masa depan negeri yang lebih cemerlang.
“Selamat Menyambut Hari Sarawak 2025 kepada seluruh rakyat Sarawak. Teruslah kita berpegang kepada semangat persaudaraan dan bersama-sama membangun negeri tercinta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Oleh Adi Safarman