KUCHING: Polis menahan seorang pekerja kilang yang dipercayai membuat laporan palsu berhubung dirinya yang kononnya menjadi mangsa samun hingga menyebabkan kehilangan wang milik ibunya berjumlah RM3,200.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lelaki itu ditahan ketika membuat laporan berhubung kehilangan wang tersebut di sini, kelmarin.
Katanya, lelaki berkenaan ditahan selepas anggota polis mendapati timbul keraguan dalam aduan yang dibuat.
“Lelaki warga tempatan berusia 20 tahun itu datang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, kelmarin.
“Dalam laporannya, lelaki itu mengatakan dia disamun oleh dua lelaki yang tidak dikenali ketika sedang menunggang motosikalnya sekitar 7.45 malam di kawasan Taman Sri Moyan, Batu Kawa.
“Lelaki itu kemudian memberitahu, kedua-dua lelaki itu menggunakan topeng dan topi keledar muka penuh. Salah seorang bertindak menumbuknya di bahagian perut, seorang lagi mengacukan parang di lehernya sambil mengarahkannya menyerahkan semua barangan peribadi miliknya yang ada dalam beg silang bewarna hitam yang dikenakan olehnya.
“Mereka kemudian melarikan diri dan dia mendakwa kehilangan RM3,200 dan dokumen peribadi, telefon bimbit dan kunci rumah,” jelas Abang Zainal.
Bagaimanapun katanya, lelaki itu akhirnya mengaku telah membuat laporan palsu kerana telah menggunakan wang milik ibunya untuk membayar hutang judi dalam talian kepada ‘jerung pinjaman’ atau ah long.
Ujar Abang Zainal lagi, lelaki berkenaan bertindak membuang barang peribadinya ke dalam sungai Sarawak.
“Laporan polis itu dibuat kerana dia tidak mampu untuk menggantikan semula wang berkenaan yang mana sepatutnya diberikan kepada neneknya untuk membuat rumah,” katanya.
Abang Zainal berkata, lelaki itu kini direman dan akan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan akibat membuat laporan palsu polis.
Oleh Connie Chieng