SIMANGGANG: Wanita yang dilaporkan hilang setelah keluar dari kediamannya di Sri Jaya Park dekat bandar ini sejak 26 November lalu berjaya ditemui hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sri Aman, ASP Mass Nur Haslinda Abdullah berkata Teresa Gudom, 48, ditemui oleh ahli keluarganya di Jalan Hollis dekat sini pada jam 10.45 pagi tadi.
“Wanita ini telah ditemui kembali dalam keadaan baik dan selamat oleh ahli keluarganya. Pihak Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan kesejahteraan kepada ahli keluarga yang terlibat.
“Ribuan terima kasih kepada masyarakat atas keprihatinan serta kerjasama yang disalurkan oleh mereka berhubung kes ini,” katanya dalam kenyataan media.
Terdahulu, Teresa dari Lorong 3B, Sri Jaya Park dekat bandar ini dilaporkan hilang pada 26 November lalu setelah keluar dari rumahnya pada hari berkenaan.
Dia kali terakhir dilihat berjalan di kawasan Jalan Sabu (simpang Kampung Muhibbah dekat sini) pada jam 10 pagi pada hari tersebut.
Suaminya termasuk ahli keluarga segera bertindak mencari Teresa sejak kehilangan itu.
Teresa dilaporkan mengalami sakit mental dan sering mengalami kemurungan sejak 2011.
Ini merupakan kali ketiga Teresa keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga dan sebelum ini berjaya dijumpai merayau di kawasan Jalan Sabu untuk kes kali pertama dan kedua terdahulu.
Oleh VALENTINE NGUMBANG