KAPIT: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan kendiri di seberang Jambatan Yong, Nanga Belawai, Kapit, lewat petang semalam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.57 petang.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati benar berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah motosikal.
“PKO menghadapi kesukaran untuk sampai ke lokasi kerana kemalangan berlaku di seberang sungai.
“Pasukan terpaksa menggunakan bot aluminium untuk ke lokasi berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati mangsa, seorang lelaki berusia 32 tahun, tercampak ke dalam parit berdekatan dan tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudian dibawa naik dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Oleh Akun Giman