

SIBURAN: Kejohanan Badminton Beregu Lelaki Terbuka Terbuka Siburan 2026 berlangsung selama dua hari baru-baru ini berjaya dianjurkan dengan penuh meriah di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan.
Kejohanan edisi sulung itu dianjurkan oleh Kelab Badminton BBP Siburan dengan kerjasama Persatuan Sukan dan Kebajikan BBP Siburan, sebagai usaha memperkasa budaya sukan dalam kalangan masyarakat setempat.
Penganjuran program tersebut bertujuan menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam aktiviti riadah sihat di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pemain badminton dari pelbagai latar belakang.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila sebanyak 37 pasangan mengambil bahagian, melibatkan peserta dari sekitar Siburan serta beberapa daerah lain di Sarawak.
Jumlah penyertaan itu sekali gus memperlihatkan minat yang tinggi terhadap sukan badminton serta potensi besar kejohanan tersebut untuk berkembang pada masa hadapan.
Kejohanan ini turut menawarkan hadiah menarik kepada para pemenang, dengan johan membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta piala iringan.
Naib johan pula menerima hadiah wang tunai RM500 bersama piala iringan, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM150 serta piala iringan.
Majlis penutup dan perlawanan akhir kejohanan diserikan dengan kehadiran Ketua Bomba Zon Samarahan, Gawai John, yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Bagi memastikan kelancaran pertandingan, pihak penganjur mendapatkan khidmat tiga Pegawai Teknikal daripada Persatuan Badminton Sarawak, sekali gus menjamin tahap profesionalisme sepanjang kejohanan berlangsung.
Secara keseluruhannya, Terbuka Siburan 2026 bukan sahaja berjaya mencungkil bakat baharu dalam sukan badminton, malah menjadi platform terbaik untuk memupuk semangat kesukanan serta memperkukuh hubungan antara jabatan dan komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman