



KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menyeru peminat Malaysia supaya bersabar dan terus memberikan sokongan kepada rakan seperjuangan selepas menewaskan rakan sepasukan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2026 di Arena Axiata hari ini.
Tang Jie-Ee Wei mara selepas mencatat kemenangan 21-13, 23-21 dalam pertemuan sesama pemain Malaysia yang berlangsung selama 41 minit.
Bercakap selepas perlawanan, Tang Jie berkata adalah sukar untuk memberikan ulasan terperinci mengenai lawan mereka kerana kedua-dua pasangan itu berlatih bersama dan amat mengetahui kekuatan serta cabaran masing-masing.
“Kami tidak boleh memberikan banyak komen kerana mereka adalah rakan sepasukan kami. Mereka mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri. Saya hanya berharap rakyat Malaysia dapat memberi mereka lebih sokongan.
“Sebagai atlet, ia bukan sesuatu yang mudah. Ada masanya prestasi naik dan turun. Kami berlatih setiap hari, jadi kami tahu bila mereka sedang bergelut atau bila mereka berada dalam keadaan yakin,” katanya.
Ee Wei ketika ditanya sama ada peminat perlu menunjukkan lebih kesabaran mengakui bersetuju sambil menyatakan bahawa kemenangan tidak pernah terjamin walaupun setiap pemain bekerja keras.
“Ya, kerana kami tidak boleh menang sepanjang masa. Semua orang bekerja keras untuk menjadi juara. Kami sentiasa memberikan yang terbaik tetapi keputusannya adalah sesuatu yang tidak dapat kami kawal sepenuhnya,” katanya.
Tang Jie-Ee Wei seterusnya akan berdepan pasangan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet dengan pasangan Malaysia itu memiliki rekod pertemuan positif selepas memenangi dua daripada tiga pertemuan terdahulu.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang tersingkir selepas tewas 9-21, 17-21 kepada pasangan Amerika Syarikat Presley Smith-Jennie Gai.
Soon Huat berkata pasangannya masih belum pulih sepenuhnya daripada keracunan makanan yang menjejaskan keseluruhan prestasi mereka di gelanggang.
“Perlawanan tadi, memang hari ini semua boleh nampak keadan kami memang tak dalam 100 peratus. Lagipun pasangan saya, boleh nampak beliau dalam gelanggang hari ini banyak melakukan kesilapan mudah.
“Jadi dari sana kami ada tukar beberapa taktikal tapi masih tak dapat jadi lagi. Sebab apa-apa pun bola mesti sampai ke tangan beliau untuk dikonsistenkan, barulah saya boleh cari peluang untuk menyerang dan kejar mata sebab kami nampak sudah kena tinggal jauh,” katanya.
Beliau berkata pasangan itu kini akan memberi tumpuan kepada pemulihan sebelum beraksi pada Terbuka India dari 13 hingga 18 Januari, diikuti Masters Indonesia dari 20 hingga 25 Januari. – Bernama