
KUALA LUMPUR: Pemain Malaysia diingatkan untuk mempamerkan aksi terbaik pada saingan Terbuka Jepun 2025, yang dianggap sebagai medan terbaik menilai tahap sebenar pemain elit dunia menjelang Kejohanan Dunia 2025 Ogos ini, kata Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky.
Rexy berkata status berprestij kejohanan Super 750 yang akan berlangsung di Jepun bermula Selasa, menyaksikan penyertaan hampir kesemua jaguh utama dunia tanpa sebarang penarikan diri besar setakat ini.
“Kita lihat sejauh ini tidak ada pemain terbaik yang tarik diri daripada kejohanan ini. Mungkin ada yang katakan ini sebagai ukuran kemampuan dari setiap negara sebelum Kejohanan Dunia.
“Ya, memang kita lihat begitu (beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik) dapat keputusan baik. Tapi kita boleh kata semua pihak sudah sasarkan mereka, tapi kalau boleh jaga momentum boleh dapat hasil bagus,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.
Antara pemain yang akan beraksi di Kejohanan Terbuka Jepun 2025 termasuk dua beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, serta beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah.
Terdahulu, ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi sebelum ini mencabar anak buahnya untuk merangkul kejuaraan, sama ada di Terbuka Jepun atau Terbuka China.
Sementara itu, Rexy ketika diminta mengulas mengenai pertembungan sesama pemain negara dalam pusingan pertama di Jepun, berkata pemain perlu bersedia dari segi fizikal dan mental, kerana persaingan kini semakin sengit.
“Bukan hanya ada pemain di bawah BAM, tapi ada pemain profesional juga. Jadi pertembungan sesama sendiri di pusingan awal kejohanan besar seperti ini tidak dapat dielakkan. Ia bukan alasan, sebaliknya satu cabaran yang perlu diatasi dengan motivasi yang betul,” katanya.
Antara aksi ‘Malaysia lawan Malaysia’ ialah pertembungan antara beregu profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Aaron-Wooi Yik.– Bernama