
KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara Leong Jun Hao sudah bersedia untuk bertemu juara bertahan dari Perancis, Alex Lanier pada kejohanan Terbuka Jepun 2025, meskipun bakal berdepan laluan getir.
Jun Hao, 25, menyifatkan Lanier sebagai pemain yang mempunyai ‘kekuatan dan ketahanan’, namun berasakan dirinya yang bebas daripada kecederaan mampu memberi saingan untuk mempamerkan aksi terbaik dalam kejohanan yang bermula Selasa ini.
Pemain negara yang bakal bertemu Lanier pada pusingan pertama itu, sebelum ini tersingkir seawal pusingan 16 dalam kejohanan terdahulu.
“Setakat ini, latihan berjalan lancar. Jurulatih Kenneth Jonassen juga menekankan aspek dalam dan luar gelanggang, terutamanya untuk meningkatkan tahap kecergasan,” katanya.
Jun Hao berkata beliau tidak menghadapi sebarang tekanan lain walaupun menjadi wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki pada kejohanan itu.
“Tetapi pengalaman menundukkan pemain yang mempunyai ranking lebih tinggi sebelum ini, pasti membantu saya di gelanggang,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara hari ini.
Pemain nombor 24 dunia itu mengakui saingan dalam acara perseorangan lelaki semakin sengit dan beliau menganggapnya sebagai peluang untuk terus membuktikan kemampuannya.
“Saya rasa mungkin dalam kalangan pemain 50 hingga 60 terbaik dunia, semua mampu bermain pada tahap tinggi; tiada perlawanan yang mudah. Setiap perlawanan pasti sukar, terutamanya dari segi fizikal. Jadi, proses pemulihan adalah sangat penting,” katanya.
Menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia, pemain profesional perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menarik diri daripada Terbuka Jepun.
Namun, pasukan LZJ masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara berkenaan.
Spekulasi mengenai keadaan Zii Jia timbul susulan satu hantaran misteri di akaun media sosialnya. – Bernama