
KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka China 2025 selepas melepasi cabaran pada pusingan kedua di Changzhou, hari ini.
Beraksi di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, gandingan pilihan keempat itu hanya mengambil masa 35 minit untuk menundukkan beregu tuan rumah Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying, 22-20, 21-17.
Tang Jie-Ee Wei bakal berdepan satu lagi pasangan dari China Guo Xin Wa-Chen Fang Hui pada aksi suku akhir esok.
Guo-Chen sebelum ini mencipta kejutan apabila menyingkirkan pasangan pilihan kelima dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, 22-20, 21-15.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao apabila tersingkir selepas kecundang kepada juara dunia dari Thailand Kunlavut Vitidsarn, 21-23, 7-21.
Keputusan hari ini menyaksikan Jun Hao mengalami penyingkiran awal ke-11 dalam 12 kejohanan yang disertainya tahun ini.
Pencapaian terbaik pemain nombor 26 dunia itu musim ini adalah layak ke suku akhir Terbuka Singapura 2025 pada Mei lepas, menyaksikan pemain ini juga kecundang di tangan Kunlavut, 13-21, 11-21.
Sementara itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan aksi cemerlang apabila menewaskan pasangan Jepun Rui Hirokami-Sayaba Hobara, 21-17, 21-13, kemenangan kedua mereka terhadap gandingan yang sama.
Pilihan ketiga kejohanan itu seterusnya bakal berdepan sama ada pasangan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi atau wakil Jepun Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto pada pusingan lapan terbaik.
Beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tidak berdepan masalah untuk mengetepikan pasangan Thailand Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh, 21-16, 21-16.
Mereka bakal berdepan gandingan India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang menewaskan pasangan Indonesia dan pilihan kelapan Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana, 21-19, 21-19.
Untuk rekod, Yew Sin-Ee Yi hanya pernah menang tiga kali ke atas gandingan India itu daripada sembilan pertemuan sebelum ini.
Beregu campuran negara Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien pula gagal meneruskan kemaraan selepas tumpas kepada pilihan utama kejohanan dari China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, 11-21, 26-24, 9-21. – Bernama