
KUALA LUMPUR: Hasrat beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah untuk mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka China 2025 di Changzhou tidak kesampaian apabila tumpas pada aksi separuh akhir, hari ini.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, pasangan pilihan ketiga kejohanan itu tewas 14-21 dan 17-21 kepada Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dalam tempoh 38 minit, sekali gus melebarkan rekod empat kekalahan kepada pasangan China itu dalam lima pertemuan sebelum ini.
Pearly-Thinaah setakat ini mempunyai satu gelaran diraih musim ini, iaitu kejuaraan Terbuka Thailand 2025 yang dimenangi pada Mei.
Yi Fan-Shu Xian seterusnya akan berdepan sama ada rakan senegara, Liu Sheng Shu-Tan Ning atau gandingan Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong dalam aksi final yang dijadual berlangsung esok.– Bernama