KUCHING: Warga kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) disarankan untuk menerapkan ‘roh kebajikan’ dalam diri masing-masing dalam usaha untuk mencapai visi dan misi JKMS.
Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, setiap warga kerja JKMS perlu memiliki rasa empati, belas kasihan, prihatin, kesegeraan, semangat berpasukan dan cara berkomunikasi yang baik demi memberikan perkhidmatan kebajikan yang cekap dan berkesan.
“Kita hendaklah menjiwai ‘roh kebajikan’ yang ada dalam diri kita dan sentiasa memiliki rasa tanggungjawab terhadap tugas yang dilakukan bagi meningkatkan produktiviti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak di Demak, semalam.
Justeru, pelbagai perkhidmatan ditawarkan oleh JKMS bagi meringankan beban golongan yang memerlukan dalam memastikan JKMS sentiasa memberi fokus kepada kesejahteraan sosial dalam masyarakat.
Antara inisiatif baharu yang dijalankan oleh JKMS pada tahun 2020 adalah seperti Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang, Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Ikhsan Kematian (BIK) dan Bantuan Khas Ibu Tunggal Fasa Pertama.
Dalam pada itu, Fatimah berkata JKMS kini berhadapan dengan cabaran kekurangan kakitangan dengan Jumlah keseluruhan kakitangan JKM Sarawak ialah 750 orang.
“Nisbah kakitangan kepada klien di peringkat bahagian ialah 1:300 akan tetapi nisbah kakitangan kepada klien di peringkat bahagian misalnya bahagian Dalat lebih menggusarkan memandangkan hanya tiga kakitangan yang berkhidmat akan tetapi perlu menjaga klien sehingga mencecah empat angka,” jelasnya.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan 23 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun 2019 yang terdiri daripada kakitangan di peringkat Ibu pejabat, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian dan juga institusi kebajikan, penghargaan kepada 14 orang pesara dan Anugerah Pekerja Contoh.
Oleh RYNNA SHA’ERRA