
TIDAK dapat disangkal, kehidupan hari ini menyebabkan ramai dalam kalangan ahli masyarakat mengalami tekanan, baik dari segi mental ataupun fizikal, yang berpunca daripada pelbagai faktor termasuk pekerjaan.
Justeru, bagi “melegakan” tekanan itu, ramai memilih rawatan diri sama ada dengan berkunjung ke spa, pusat urut ataupun mendapatkan terapi daripada pakar yang menawarkan pelbagai teknik untuk mengurangkan ketegangan fizikal dan mental seseorang.
Kebelakangan ini, teknik rawatan “tidur enam saat” menjadi antara terapi popular dengan ramai yang mendakwa keberkesanan kaedah itu. Akan tetapi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai agar tidak mencuba rawatan berkenaan kerana berisiko membawa maut.
PERSEPSI
Menyanggah kenyataan KKM, pengamal terapi berkenaan Ahmad Noordin Mohd Azmi berkata tidur enam saat hanyalah satu nama yang diberikan oleh perawat, kerana rawatan tersebut sebenarnya kaedah tradisional yang sudah lama dipraktikkan oleh pengamal perubatan alternatif.
“Lain perawat lain nama yang diberikan kepada kaedah ini. Namun, umumnya, tujuan rawatan adalah sama, iaitu membantu menyihatkan dan merangsang sistem saraf bermasalah,” kata perawat urat saraf yang berkelulusan Diploma Kemahiran Malaysia dalam Urut Terapeutik & Penjagaan Tahap Empat, Jabatan Pembangunan Kemahiran ini kepada Bernama.
Menjelaskan terdapat pelbagai jenis rawatan saraf yang tidak diketahui umum, beliau yang berpengalaman selama lima tahun dalam menyelesaikan masalah saraf dengan teknik itu, berkata rawatan tersebut tidak merawat penyakit, sebaliknya sekadar membantu merangsang saraf yang lemah dengan melancarkan perjalanan darah di kawasan berkenaan.
“Dengan rawatan ini semua saraf, terutama di bahagian otak, akan terus jadi sihat. Contohnya, daripada letih, berat kepala, mata tidak terang, pelanggan akan rasa lapang, segar, cerah mata dan bertenaga selepas rawatan,” katanya dan menegaskan bukti keberkesanan rawatan itu hanya dirasai oleh individu berkenaan.
Beliau berkata antara yang sesuai mendapatkan rawatan itu ialah mereka yang mengalami masalah di bahagian kepala, keletihan, kesukaran tidur serta ketegangan leher.
Ahmad Noordin bagaimanapun mengakui akan risiko rawatan tersebut sekiranya dilakukan oleh perawat yang tidak berpengalaman dan “tidak berguru”, selain menjelaskan “keadaan tubuh seseorang yang tampak meronta-ronta semasa rawatan hanyalah keadaan luaran serta menandakan sistem saraf individu tersebut sangat teruk.”
“Jika tidak yakin atau waswas dengan konsep rawatan, jangan pergi walaupun ramai yang kata rawatan ini berkesan. Semua orang kena ingat, jika minda kita waswas pada sesuatu rawatan itu, kesembuhan tidak akan jadi sempurna walaupun perawat itu yang bertauliah dan sangat berpengalaman,” nasihatnya.
TIADA BUKTI KUKUH
Sementara itu, pakar neurologi Dr Ahmad Shahir Mawardi daripada Hospital Kuala Lumpur, berkata hingga kini dakwaan keberkesanan rawatan tersebut dalam menangani masalah saraf tidak disokong bukti saintifik ataupun klinikal.
“Tidur enam saat merujuk trend rawatan alternatif dengan pengamalnya melakukan satu teknik yang dapat membuatkan seseorang ‘tertidur’ dalam masa sangat singkat, iaitu enam saat, dan dikatakan mampu memberikan rasa segar dan melegakan kesakitan seseorang.
“Dalam rawatan ini, pengamal akan menekan salur darah utama yang membekalkan oksigen dan nutrien ke otak. Salur darah yang dipanggil carotid artery atau arteri karotid ini terletak di kedua-dua bahagian leher. Apabila tekanan diberikan kepada kedua-dua arteri karotid di pangkal leher ini, akan berlaku gangguan pada saluran bekalan darah ke otak, di mana bekalan oksigen juga terganggu dan keadaan ini dipanggil cerebral hypoperfusion.
“Situasi ini akan mengakibatkan penerima rawatan mengalami keadaan seperti tidur, terpinga-pinga dan berlaku pergerakan badan yang seakan-akan sawan. Apabila tekanan pada pangkal leher dilepaskan, penerima rawatan akan sedar semula kerana pengaliran darah ke otak akan berlaku semula,” jelasnya kepada Bernama.
Memperincikan teknik itu dari sudut klinikal, beliau berkata istilah karotid berasal daripada perkataan Yunani Purba iaitu karotides yang berasal daripada “karoun”, bermakna “terjun ke dalam tidur yang nyenyak” atau stupefy.
Dr Ahmad Shahir tidak menolak kemungkinan terapi tidur enam saat itu berasal daripada penemuan tersebut yang dibuat oleh pakar perubatan awal Yunani, iaitu Rufus of Ephesus dan Galen of Pergamon.
KECEDERAAN
Merungkai sama ada terapi tidur enam saat itu benar-benar mampu mengatasi masalah seperti yang didakwa pengamalnya, Dr Ahmad Shahir berkata hingga kini tidak ada bukti secara klinikal yang mengatakan terapi tersebut mampu mengubati keadaan seperti stres, hipertensi dan masalah sukar tidur.
“Sebalikya, terapi ini berisiko mengakibatkan komplikasi perubatan yang signifikan seperti pengsan mengejut, strok, kecederaan arteri karotid, gangguan irama jantung (aritmia), hipoksia serebrum, kecederaan otak kekal, sawan selain risiko kematian,” katanya.
Diminta mengulas kesan terhadap otak jika seseorang “memaksa” tidur dalam tempoh yang sangat singkat seperti enam saat, beliau berkata kehilangan kesedaran yang berlaku dalam tempoh singkat bukanlah tidur yang sihat tetapi merupakan keadaan pengsan yang disebabkan oleh gangguan aliran darah ke otak.
“Bekalan darah ke otak yang terganggu… sebab itulah terapi tidur berkenaan sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan termasuk kerosakan otak kekal,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Ahmad Shahir berkata di bahagian leher, selain daripada salur darah, terdapat struktur penting seperti jaringan saraf yang kompleks yang berisiko tercedera semasa rawatan dijalankan.
“Terdapat struktur penting dinamakan baroreceptors yangterletak di sinus karotid, berperanan untuk mengawal tekalan darah dan hemostatis badan. Dalam proses tidur enam saat ini, apabila tekanan darah ke otak rendah, ia akan menghantar signal ke jantung untuk mengepam darah lebih tinggi.
“Keadaan ini amat kritikal terutamanya bagi individu dengan masalah jantung yang tidak didiagnosis atau tidak disedari dan boleh menyebabkan komplikasi seperti kegagalan jantung atau gangguan pada degupan jantung, dan seterusnya boleh menyebabkan kematian,” jelasnya.
Selain itu, gangguan bekalan darah yang membawa oksigen ke otak, jika berlaku dalam jangka masa lama, mampu menyebabkan strok kerana tisu otak sangat sensitif dengan keadaan kekurangan oksigen.
Otak hanya dapat bertahan selama empat minit tanpa oksigen yang mencukupi sebelum berlaku kerosakan kekal.
JUMPA DOKTOR SEBELUM CUBA
Berpendapat teknik itu popular kerana ada golongan selebriti yang turut terlibat dan berkongsi “keberkesanan” rawatan di platform media sosial mereka, Dr Ahmad Shahir menasihati individu yang ingin mencuba agar mendapatkan nasihat doktor bertauliah terlebih dahulu.
“Demi keselamatan, dapatkan nasihat doktor, kerana rawatan ini bukan bidang amalan yang diiktiraf di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2016 serta tidak tergolong dalam mana-mana kaedah perubatan moden ataupun amalan perubatan tradisional yang diiktiraf,” katanya.
Menyentuh cara lebih selamat dan terbukti secara klinikal dalam mendapatkan tidur berkualiti serta amalan yang boleh dilakukan untuk meredakan tekanan, Dr Ahmad Shahir berkata bagi memperoleh tidur berkualiti, masyarakat boleh melakukan amalan ‘sleep hygiene’ atau kebersihan tidur.
“Ini bukan sekadar tentang kebersihan fizikal tetapi lebih kepada mewujudkan persekitaran dan rutin yang membolehkan tubuh berehat secara optimum. Jika langkah in masih gagal, dinasihatkan mereka untuk mendapatkan rawatan daripada doktor pakar,” katanya. – Bernama