Hakikatnya tidak ramai golongan wanita profesional dan sudah berkeluarga sanggup meluangkan masa berpenat-lelah menanam sayur-sayuran di sekeliling rumah mereka pada setiap hari.
Dengan kesibukan bekerja, mengurus rumah tangga dan anak-anak pada setiap hari menghalang mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti berkenaan walaupun hanya di perkarangan rumah sahaja.
Namun begitu bagi wanita yang berasal dari Menyalin Baru, Debak ini, penat lelah berkebun di perkarangan rumah adalah sebahagian daripada rutin harian yang dilakukan olehnya kerana bagi beliau bercucuk tanam adalah cara terapi minda yang terbaik.
Diana David Itang, 40, berkata memiliki profesion sebagai pengurus hartanah sememangnya memberi tekanan apatah lagi jika beliau juga harus bertanggungjawab terhadap pengurusan keluarga di rumah.
“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan oleh kerajaan pada Mac tahun lepas saya mula meluangkan lebih banyak masa di rumah bersama keluarga.
“Segala urusan pekerjaan dilakukan secara atas talian. Apabila selesai bekerja saya terus melayari laman web lain sehingga secara tidak sengajanya terbaca mengenai hobi berkebun di rumah,” kata wanita tersebut.
Topik mengenai hobi tersebut mula menarik perhatian Diana yang kemudiannya bertindak mengeluarkan belanja untuk membeli pasu kecil, beg poli, tanah dan baja organik (baja tahi ayam) secara berperingkat.
Kemudian, beliau bertindak memilih beberapa jenis sayur-sayuran bagi tujuan berkenaan antaranya ialah bayam, cili (pelbagai jenis), sawi, kacang bendi, keladi sayur, cangkuk manis, ensabi dan cendawan tiram.
“Selain menanam sayur-sayuran saya juga ada menanam beberapa jenis buah di sekeliling rumah bersempena dengan hobi ini antaranya ialah tomato, labu manis, ceri, nanas dan strawberi.
“Semua proses tersebut saya lakukan dengan penuh minat tanpa mengenal erti penat. Apabila tanaman berkenaan dikendalikan dengan baik maka barulah ia mula menampakkan hasil dan memuaskan diri kita sendiri,” kata Diana.
Pemegang ijazah Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata penglibatan dalam hobi ini nyata tidak menjadi sia-sia kerana ia membolehkan dirinya mengawal dan mengatasi tekanan perasaan sehingga sekarang.
“Hobi saya teruskan setelah PKP berakhir. Walaupun letih pulang dari bekerja, saya tetap akan ke turun ke kebun untuk mengurus tanaman sayur dan buah-buahan di situ pada waktu lewat petang.
“Apabila melihat buah mula masak dan tanaman sayur menjadi amat subur maka barulah saya menjadi amat seronok sehingga lupa terhadap tekanan di tempat kerja yang saya lalui sebelum itu,” kata beliau.
Diana mengajak kaum wanita profesional agar tidak segan melibatkan diri dalam hobi menanam sayur di sekeliling rumah kerana ia secara tidak langsung dapat membantu mereka untuk terus ceria dari masa ke semasa.
“Lagi pun berkebun di sebelah rumah secara tidak langsung akan dapat membantu kita mengurangkan belanja membeli sayur atau buah di pasar apatah lagi dalam situasi penularan pandemik Covid-19 pada masa sekarang,” kata wanita itu.
Oleh VALENTINE NGUMBANG