UMBUT TEPUS atau Tuhau atau Upak Kechalak adalah sejenis ulaman beraroma yang popular di Sarawak dan Sabah.
Ulam yang mempunyai aroma ini mempunyai rasa masam dan seakan halia kerana ia adalah daripada keluarga yang sama.
Ia juga boleh dikategorikan sebagai ulam yang tumbuh meliar di hutan hujan di Kepulauan Borneo.
Namun begitu,disebabkan permintaan yang tinggi terhadap tuhau terutamanya dalam kalangan penduduk tempatan ramai yang mengambil pilihan alternatif untuk menanamnya.
Dilihat dari segi permintaan ia memang semakin diminati ramai kerana khasiatnya dan rasa keenakannya serta mudah dibeli.
Amat enak dimakan dengan nasi putih dan lauk pauk lain, ulam ini sesuai dicecah dengan sambal belacan.
Pokok ini tumbuh meliar dan kini ia telah ada ditanam di kawasan rumah merupakan pokok jenis umbisi.
Ia mempunyai daun sama seperti pokok kantan dengan batang berwarna hijau yang menegak dari perdu.
Batang ini jika dipotong menghasilkan umbut yang berwarna putih dan ianya boleh dimakan mentah iaitu sebagai ulam dimakan bersama nasi.
Pokok tuhau mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dan boleh dibezakan dengan pokok-pokok atau ulam-ulaman yang lain.
Ini kerana pokok upak kechalak ini selalu mempunyai bau yang kuat seperti sejenis serangga (kesing) atau sama seperti bau ketumbar Jawa.
Pokok tuhau yang telah matang sering mempunyai bunga yang berwarna merah terang atau warna merah jambu sama seperti warna bunga kantan.
Ia juga selalunya mudah untuk dibiakkan dengan cara pembiakan menggunakan pecahan rizom atau biji benih.
Banyak telah dibuat testimoni atau dakwaan mengenai khasiat yang juga terdapat pada tuhau antaranya dapat mencuci darah yang kotor, mengurangkan tekanan darah tinggi dan selain dari pada itu kandungan seratnya yang sangat tinggi menjadikan tuhau baik untuk kesihatan.
Ulam tuhau sesuai juga diproses untuk dijadikan sebagai sambal dengan cara menghancurkannya kemudian dicampur dengan cili padi, garam, cuka ataupun perahan air limau.
Selain itu, juga boleh dimasak bersama ikan masin, lada putih dan cara lain berdasarkan kepada cita rasa masing-masing.
Bahan ulaman ini juga sesuai untuk diproses menjadi Jeruk Tuhau.
Produk ini telah dikomersilkan terutama di Sabah sebagai satu produk industri asas tani yang semakin popular.
Cara membuatnya dengan cara dimana batang tuhau yang lembut di hiris nipis atau di tumbuk hancur kemudian dicampurkan dengan cili, cuka atau air limau, garam dan gula.
Jeruk Tuhau ini sangat sesuai di makan bersama dengan ikan panggang, ikan goreng dan ikan masin Tapi bagi pengemar Tuhau semuanya memang enak kerana ia juga boleh dicampur dalam sup ikan, mee maggie asam laksa.
Oleh Nur Ain Otsman