KUCHING: Kerja menaik taraf jalan sepanjang 9.43 kilometer (km) dari Jambatan Batang Sadong ke Kampung Sabun, Simunjan tepat pada masanya, kata Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau ketika mewakili Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, jalan tersebut bila siap kelak
akan memberi keselesaan serta manfaat, bukan hanya kepada penduduk di Daerah Simunjan dan Sebuyau tetapi juga dari Samarahan yang perlu berulang-alik untuk tugas rasmi dan melakukan kegiatan sosioekonomi.
Projek yang menggunakan teknologi Cold In Situ Pavement Recyling Techonology (CIPR) itu menelan kos sebanyak RM25.6 juta dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun depan.
“Jalan simpang dari jambatan Batang Sadong menuju ke kampung Sabun, Simunjan amat penting untuk penduduk di Daerah Simunjan khususnya mereka yang tinggal di kawasan DUN Simunjan dan DUN Sebuyau dan kawasan sekitar dalam Bahagian Samarahan.
“Jalan ini menjadi penghubung antara jalan pesisir di sebelah Sadong Jaya dan Sebuyau dengan Lebuh Raya Pan Borneo di sebelah Simunjan dan Gedong,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.
Menurut Julaihi, jalan tersebut lebarnya adalah 6.5 meter manakala bahu jalannya ialah 2.5 meter di sebelah kanan dan 2.5 meter di sebelah kiri.
“Sehingga kini kemajuan sebenar di tapak projek ialah pada kadar 35.9 peratus berbanding jadual asal iaitu 38.14 peratus,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Julaihi memberitahu walaupun kos teknologi CIPR lebih tinggi, ia adalah kaedah pembinaan yang lebih baik berbanding dengan pembinaan jalan konvensional.
Berdasarkan lokasi projek dan kerja pembinaan, jalan raya akan lebih berkualiti berbanding dengan kaedah pembinaan yang ada. Selain itu, kita boleh memilih untuk menghasilkan agregat oleh kuari tempatan untuk mengurangkan kos.
Kerja-kerja semasa di jalan tersebut masih dalam persiapan dan peletakan geotekstil sub-pangkalan. Setelah pengujian telah dilakukan dan permukaan penamat meterai utama dilakukan, pembalut akhir diikuti dengan pembalut permukaan dilakukan sesuai dengan spesifikasi.
“CIPR baharu dalam bahan binaan dan dianggap sebagai projek perintis oleh Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) Sarawak, untuk pembinaan jalan di kawasan tanah gambut. Projek perintis lain di tanah mineral menggunakan Teknologi CIPR oleh syarikat yang sama adalah di Jalan Ulu Suai (19km). Ia hampir selesai,” katanya.
“Sekiranya teknologi ini terbukti, kita dapat meningkatkan kualiti dan kelestarian jalan raya. Mungkin kerajaan dapat meneroka lebih jauh teknologi ini sebagai pilihan untuk masa depan,” kata Ir. Christopher Gira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, ketika menggulas berkenaan jalan terbabit.
Jurutera Projek dari Perbena Emas Sdn Bhd memberi taklimat semasa lawatan kerja Julaihi Narawi yang turut disertai Ir. Christopher Gira dan jurutera dari JKR dan pegawai kerajaan yang lain.
Oleh NUR AIN OTSMAN