TELITI… Josefine Midong ketika menenun pua kumbu.
SIAPA yang sangka pengalaman menenun sejak umur enam tahun yang dimiliki mampu menjadikan seorang wanita Dayak dapat menempa nama dalam bidang penghasilan kraf tangan pada hari kedua RWMF 2022.
Kekal mesra menyambut kedatangan pemberita ketika jari jemarinya sibuk menari atas alat penenun, Josefine Midong Jubin sanggup meluangkan sedikit masa untuk ditemu bual pemberita.
Josefine yang berasal dari Nanga Entawau, Baleh Kapit berkata pengalamannya membantu neneknya menenun kain pua kumbu memberikan ganjaran yang amat bermakna kepada kemahiran yang dimilikinya.
“Saya mula belajar menenun sejak berumur enam tahun dengan membantu nenek dan setelah memasuki sekolah rendah, saya memperoleh pendapatan sampingan dengan menjual pua kumbu bersaiz kecil.
“Pengalaman tersebut menjadikan saya semakin mahir dan saya bersyukur kerana dengan pengalaman tersebut saya mampu memperkenalkan budaya kaum Iban iaitu menenun pua kumbu hingga ke luar negara seperti Vietnam, China, Beijing dan juga Indonesia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2022 di Kampung Budaya Sarawak (SCV) yang berlangsung selama tiga hari sejak 17 Jun hingga 19 Jun 2022.
Tambahnya lagi, beliau berasa bangga kerana dapat memperkenalkan setiap motif yang ditenun kepada pelancong yang datang sekali gus memartabatkan keunikan budaya yang dimiliki.
“Antara soalan yang sering diajukan oleh pelancong ialah apakah kebaikan sekiranya meletakkan pua kumbu dengan motif tertentu di dalam rumah, apakah maksud bagi setiap motif dan sebagainya dan saya akan memastikan saya dapat menjawabnya dengan baik agar mereka juga mudah memahaminya.
“Oleh itu, kita perlu mengetahui maksud setiap motif yang kita tenun atau hasilkan sekaligus memperkenalkan kekayaan dan keindahan seni kepada orang luar.
“Sepanjang mengikuti festival ini, saya bersyukur kerana hasil pendapatan yang diraih agak berbaloi sama ada dari tenunan pua kumbu, tikar rotan, tikar bemban, ajat, ketapu tunjang dan sebagainya,” katanya.
Di samping itu, beliau turut berharap festival sedemikian akan lebih kerap diadakan dengan melibatkan pelbagai persatuan kraftangan atau individu bagi menarik minat pelancong serta memartabatkan karya seni tradisional di mata dunia.
Oleh RYNNA SHA’ERRA