NEW DELHI: Pasukan tentera India dan China berbalas tembakan amaran di sepanjang Garis Kawalan Sebenar (LAC) di wilayah Ladakh, sumber Tentera India memberitahu Sputnik.
Kejadian itu berlaku berhampiran Tasik Pangong (Pangong Tso) di timur Ladakh pada Isnin malam.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan China Wei Fenghe dan rakan sejawatannya dari India, Rajnath Singh, menyeru pertikaian sempadan itu diselesaikan secara damai.
Kedua-dua pemimpin itu berkata demikian semasa menghadiri mesyuarat menteri pertahanan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang berlangsung di Moscow.
Ketegangan sempadan antara India dan China baru-baru ini semakin meningkat akibat pertempuran antara pasukan negara di sepanjang LAC.
Sementara itu di Washington, Presiden Donald Trump kelmarin menuduh kepemimpinan Pentagon menginginkan perang untuk ‘’menggembirakan’’ kontraktor pertahanan, menurut laporan Agensi Anadolu (AA).
“Saya tidak mengatakan pihak tentera sukakan saya; tetapi askar-askar itu ya ,” kata Trump pada sidang media Rumah Putih.
“Pihak atasan di Pentagon mungkin tidak kerana mereka tidak mahu melakukan apa-apa selain berperang sehingga semua syarikat hebat yang membuat bom dan pesawat serta pengeluar yang lain terus gembira,” tambahnya.
AA melaporkan Trump mengeluarkan kenyataan itu beberapa hari selepas beliau mengecam keras laporan bahawa beliau menghina korban perang Amerika.
Memetik sumber yang tidak disebutkan namanya, majalah The Atlantic pada Khamis melaporkan semasa kunjungan ke Perancis pada 2018, Trump membatalkan lawatan ke Tanah Perkuburan Amerika Aisne-Marne berhampiran Paris iaitu lokasi korban Perang Dunia I Amerika dikebumikan kerana beliau tidak menghormati orang-orang yang dikebumikan di lokasi tersebut.
“Mengapa saya harus pergi ke tanah perkuburan itu? Ia dipenuhi dengan mereka yang kalah, ” kata Trump kepada pekerja kanan ketika itu, menurut majalah itu.
Beliau juga mengatakan lebih daripada 1,800 tentera laut yang kehilangan nyawa mereka di Belleau Wood, pertempuran penting dalam perang dunia pertama, adalah “bodoh” kerana terbunuh.
Ketika ditanya oleh seorang wartawan di Pejabat Oval pada Jumaat adakah beliau meminta maaf kepada anggota dan veteran perkhidmatan AS, Trump berkata, “Tidak. Ini adalah cerita palsu yang ditulis oleh sebuah majalah yang kewujudannya mungkin tidak akan lama.”-Bernama