HUJAN yang datang dan pergi dengan tidak menentu ketika ini banyak melakukan kerumitan bagi kita semua.
Bagi kita di bandar raya dan di bandar-bandar utama terasa sebahagian tempat kita sukar untuk dilalui apabila kebanyakan jalan raya dengan tiba-tiba dinaiki air sehingga menyukarkan laluan kenderaan.
Air pasang naik pada ketika hujan lebat turun punca air melimpahi kebanyakan longkang dan parit.
Namun begitu, berlainan pula yang berlaku di kawasan luar bandar, terutama di kawasan-kawasan pedalaman di seluruh Sarawak.
Di Ba’Kelalan, sebagai contoh, hujan lebat pada Isnin lepas telah memusnahkan kebanyakan sawah padi. Kebetulan pula pada ketika hujan lebat melanda, para petani di sana sedang menuai padi mereka.
Yang tragiknya ialah air limpahan hujan telah menenggelamkan sawah bendang mereka yang seluas hampir sebesar dua buah padang bola sepak.
Akibatnya, banjir telah menghanyutkan beberapa guni padi tuaian dalam simpanan segelintir petani di Buduk Nur.
Di Song, hujan lebat yang turun pada Selasa bukan setakat mengakibatkan banjir malahan turut mengakibatkan tanah runtuh sehingga beberapa stor tempat menyimpan barangan pertanian dan peralatan aktiviti perikanan telah dihanyutkan.
Di pedalaman Baram dikhabarkan sebanyak 14 buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah telah juga dikepung banjir pada Selasa lepas, dan mengakibatkan air naik sehingga ke paras dua meter hingga 3.5 meter.
Turut terjejas adalah kuarters guru, padang-padang sekolah dan jalan-jalan yang menuju ke sekolah-sekolah tersebut.
Di SK Ubong Imang, misalnya, mereka yang terjejas termasuklah sejumlah 221 pelajar, termasuk 76 pelajar asrama dan 22 taman didikan kanak-kanak (TADIKA).
Begitu juga bandar Marudi yang menyaksikan air naik menutupi hampir kesemua jalan raya bandarnya sehingga ke Kampung Narum dan Kampung Dagang. Begitu juga yang berlaku di Long Bemang pada Rabu lepas.
Sekolah-sekolah di daerah Subis, jalan dan jambatan di Ulu Niah dan Sungai Lemaus serta Rumah Mukeng juga dilanda banjir, cuma mujurlah tiada pemindahan yang terpaksa dilakukan.
Begitulah keadaan yang berlaku di Sarawak, apabila banjir melanda, kesengsaraan lazimnya banyak berlaku di kawasan-kawasan pedalaman.
Bukan tiada usaha untuk memperbaiki keadaan dilakukan namun oleh kerana keluasan kawasan serta keterpencilannya dari kemudahan-kemudahan yang sewajarnya menyukar serta melambatkan. Kita yakin pihak berwajib sedang mengusahakan sesuatu yang memakan masa agak lama untuk dapat dijayakan.