
KUCHING: Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj telah merasmikan Ekspo Festival Tekstil Antarabangsa Borneo 2025 yang berlangsung di Muzium Budaya Borneo, di sini, hari ini.
Ketibaan Baginda bersama puterianda, Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah, disambut para kenamaan sebelum baginda berkenan meninjau ruang pameran yang mengetengahkan kekayaan tekstil tradisional serta inovasi kontemporari dari pelbagai penggiat seni dan institusi warisan.
Antara tarikan utama festival ialah penyertaan Yayasan Tenun Pahang Diraja, yang menampilkan perjalanan pembangunan Tenun Pahang Diraja sebagai kraf warisan yang bukan sahaja dipelihara, malah menjadi pemangkin peningkatan sosioekonomi komuniti penenun.

Ditubuhkan pada 2017 dengan baginda sebagai Pengasas Bersama dan Pengerusi, yayasan tersebut terus memperluas program pemuliharaan dan pembangunan industri tenunan.
Festival turut menyerlahkan karya kontemporari Jihan Abdullah menerusi instalasi Pemandangan Bandar Masa Depan (Cityscape of the Future), yang menggabungkan inspirasi seni bina Melayu tradisional dengan pendekatan futuristik.
Hasil tenunan berbentuk arca menggunakan monofilamen, dawai logam dan tali pancing itu memberi tafsiran baharu terhadap tekstil sebagai struktur ruang yang responsif terhadap cahaya dan persekitaran.



Pameran Yayasan Tenun Pahang Diraja sempena Festival Tekstil Antarabangsa Borneo 2025.
Seni warisan Sarawak turut diberi tumpuan melalui penglibatan Persatuan Perintis Inovasi Songket dan Keringkam Kuching, yang sejak penubuhannya pada 2024 giat memperkasa penyelidikan, latihan dan inovasi dalam tenunan songket serta sulaman keringkam agar terus relevan dalam era moden.
Yayasan Tun Jugah, yang sudah lama menjadi rujukan dalam pemeliharaan warisan Iban, menampilkan koleksi pua kumbu dan pua sungkit yang menjadi lambang identiti masyarakat Iban.
Melalui galeri tenunannya, yayasan itu terus memupuk generasi baharu penenun melalui bengkel, kelas dan program latihan berstruktur.
Dalam sesi lawatan tersebut, baginda diberikan taklimat mengenai perkembangan industri tekstil serantau, selain berinteraksi dengan artisan yang mempamerkan kepelbagaian hasil tenunan, sulaman serta instalasi seni moden.
Pempamer lain seperti Kraftangan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak, Majlis Kraf Sarawak, Tanoti House dan Society Atelier Sarawak turut melengkapkan festival dengan mempamerkan kepelbagaian produk, penyelidikan serta inovasi kraf yang mencerminkan kesinambungan warisan tekstil di rantau ini.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, bersama tetamu kehormat lain.
Oleh Shikin Mahmud