
GEDONG: Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menitahkan agar menubuhkan Institut Songket Sarawak bagi memelihara dan memperkasa seni tenunan tradisional negeri itu.
Baginda bertitah, peningkatan jumlah pengeluar songket Sarawak kebelakangan ini menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memartabatkan warisan seni tempatan, terutama dengan penglibatan golongan muda dan wanita.

Baginda menekankan kepentingan mewujudkan silibus pembelajaran rasmi agar seni tenunan dapat diwariskan kepada generasi baharu.
“Itu adalah satu industri kecil-kecilan yang kita nak galakkan untuk supaya anak-anak muda boleh ada satu bisnes yang baru.
“Ini juga bagi memastikan seni tenunan tidak mati begitu sahaja untuk generasi-generasi yang akan datang kerana ini satu khazanah negeri Sarawak,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita semasa berkenan mencemar duli ke Seri Gedong Songket di Kampung Kanchong Baru Gedong pada hari ini.
Hadir mencemar duli, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Dalam titah baginda, Tengku Ampuan turut menzahirkan pandangan bahawa seni tenunan merupakan lambang persaudaraan dan identiti serantau yang dikongsi oleh negara-negara di Asia Tenggara.
Tambah Baginda, tenunan ini mengeratkan tali persaudaraan di antara baginda dengan Sarawak, termasuk Cambodia, dengan Thailand.
“Mungkin coraknya berbeza atau rekaannya lain, tetapi itulah benang yang mengeratkan tali persaudaraan di antara kita semua di rantau Melayu Nusantara,” titah baginda.

Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang mencemar duli hampir satu jam di Seri Gedong Songket bagi melihat sendiri cara penghasilan songket termasuk kraf tangan seperti anyaman beg dan manik ‘loom’.
Kehadiran baginda berdua pada 11.10 pagi disambut oleh Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah serta dif kenamaan lain.
Usai di Seri Gedong Songket, Baginda berdua turut berkenan mencemar duli ke Majlis Santapan Diraja yang diadakan di Dewan Datuk Patinggi Ali.
-UKAS