
KUCHING: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah bahawa Sarawak bukan sekadar destinasi kunjungan, sebaliknya telah menjadi ‘rumah kedua’ kepada Baginda, sekali gus melambangkan keakraban hubungan warisan dan budaya antara Pahang dan Sarawak yang terjalin sekian lama.
Baginda bertitah, setiap kali menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang, baginda merasakan dirinya ‘pulang ke rumah sendiri’ dan disambut sebagai keluarga, malah menyifatkan seluruh rakyat Sarawak sebagai ‘sepupu’ Baginda dalam ikatan warisan Nusantara.
“Apabila saya berkata Sarawak adalah rumah kedua saya, saya benar-benar maksudkannya. Saya tidak rasa seperti melancong, saya rasa seperti pulang ke rumah,” titah Baginda ketika menyampaikan ucapan utama pada Seminar Festival Tekstil Antarabangsa Borneo (BITF) 2025, di sini, hari ini.
Baginda turut menyingkap hubungan erat antara kedua-dua negeri itu menerusi pertukaran budaya, seni dan kraf tradisional, termasuk penglibatan Sarawak dalam Temasya Festival di Pahang serta penyertaan bersama dalam London Craft Week yang memperkenalkan khazanah kraf tempatan ke pentas antarabangsa.

“Persamaan sejarah, laluan sungai dan jaringan peradaban lampau antara Pahang dan Sarawak membuktikan kedua-duanya berkongsi akar warisan yang sama, sekali gus memperkukuh ikatan budaya yang telah sekian lama terjalin.
“Anak-anak muda jangan simpan warisan dalam almari. Pakai, banggakan, warisi dan hidupkan budaya kita.
“Warisan bukan sekadar tinggalan masa lampau, tetapi merupakan asas pembentukan jati diri bangsa dan perlu diteruskan melalui pendidikan, latihan serta penglibatan aktif golongan muda,” titah Baginda lagi.
Pada masa sama, Baginda memuji usaha Sarawak memelihara dan memartabatkan warisan melalui institusi seperti Muzium Budaya Borneo, pusat latihan kraf dan kerjasama kerajaan dalam melahirkan generasi pewaris seni budaya.
Titah Baginda, usaha memperkukuh warisan hanya dapat direalisasikan melalui kesatuan pelbagai pihak termasuk kerajaan, artisan, komuniti dan generasi muda, agar khazanah budaya tidak lenyap ditelan zaman.
Program berkenaan menjadi simbolik kepada hubungan erat Pahang–Sarawak yang terus diperkukuh melalui jalinan seni, budaya dan kesedaran warisan secara bersama.
Oleh Masrin Affirah