Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Tenaga boleh diperbaharui arah tuju Sarawak, bukan nuklear
  • SEMASA

Tenaga boleh diperbaharui arah tuju Sarawak, bukan nuklear

Utusan Sarawak 15 hours ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika sesi ‘Fireside Chat’ sempena IEW 2025 di BCCK, hari ini. – Foto UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan pendiriannya untuk tidak menggunakan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada dasar tenaga negeri, sebaliknya terus memberi keutamaan kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui yang lebih bersih, selamat dan mampan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak mempunyai sumber tenaga yang mencukupi seperti hidroelektrik, kitaran gabungan gas serta solar, sekali gus menjadikan keperluan kepada tenaga nuklear tidak relevan.

“Berdasarkan sumber yang kita miliki, saya berpendapat Sarawak tidak memerlukan tenaga nuklear kerana kita mampu menjadi pengeluar tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Menurut beliau, Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt pada 2035, dengan pelaburan sektor swasta yang semakin giat dalam tenaga solar.

“Sarawak berpotensi menjadi hab tenaga boleh diperbaharui serantau. Maka saya rasakan tenaga nuklear tidak lagi relevan kerana kita mempunyai sumber sendiri dan akan memaksimumkan penggunaan tenaga hijau ini,” jelasnya.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui media selepas merasmikan Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2025 di BCCK, hari ini. – Foto UKAS

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Dalam pada itu, Premier Sarawak turut menyatakan minat negeri ini untuk meneroka potensi teknologi tenaga fusion, satu bentuk tenaga baharu berasaskan tindak balas molekul hidrogen yang dilihat lebih selamat dan murah berbanding tenaga nuklear.

“Teknologi ini hanya memerlukan hidrogen yang kita boleh hasilkan daripada air. Ini memberikan kelebihan kepada Sarawak. Namun kajian terperinci masih perlu dijalankan dan kita tidak mahu terburu-buru,” tegasnya.

Beliau turut menekankan keperluan mencari penyelesaian lestari terhadap isu perubahan iklim menerusi penggunaan tenaga yang tidak memberi impak negatif kepada alam sekitar.

Terdahulu, pada majlis perasmian IEW 2025, Premier Sarawak turut mengambil bahagian dalam sesi ‘Fireside Chat’ bertajuk From Sarawak To The World: Journey To Clean Energy Leadership.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta barisan kehormat lain.

Oleh Norman B.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Sarawak pacu kepimpinan tenaga bersih serantau melalui IEW 2025
Next: KasihnITa perkasa ibu tunggal, sasar 1,500 peserta – Nancy

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.