LONDON: Erik ten Hag percaya dia masih mendapat sokongan daripada pengurusan tertinggi Manchester United ketika dia dalam persiapan menghadapi aksi penting menentang Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.
Selepas tiga bulan menandatangani lanjutan kontrak, Ten Hag terdesak bagi menyelamatkan kedudukannya selaku pengurus United selepas permulaaan musim yang hambar.
Kekalahan 0-3 di tangan Tottenham Hotspur di laman sendiri dan sekadar seri 3-3 dengan Porto dalam saingan Liga Europa, awal pagi tadi menambah tekanan kepada Ten Hag.
United ketika ini menduduki tangga ke-13 carta Liga Perana dengan hanya dua kemenangan daripada enam perlawanan, hanya beberapa bulan selepas menamatkan saingan musim lalu di tempat kelapan – pencapaian terburuk dalam sejarah kelab itu sejak 1990.
Bagaimanapun, anak buah Ten Hag berjaya menjulang trofi Piala FA musim lalu selepas merangkul gelaran Piala Liga setahun sebelum itu.
Berdasarkan situasi ketika ini, kekalahan di tangan Villa akan memberi tamparan hebat kepada harapannya untuk mengelak daripada dipecat pada musim ketiganya di Old Trafford.
Ditanya jika dia merasakan penyokong dan pengurusan tertinggi United masih boleh bersabar, Ten Hag, berkata: “Saya tidak memikirkan isu-isu seperti itu kerana itu bukan perkara utama.
“Kami berada di sini secara bersama, pemilik, pengurusan tertinggi dan kakitangan lain. Saya melantik kakitangan baharu, kami membeli pemain muda baharu lagi dan kami perlu membentuk mereka.
“Seperti yang kami bincangkan tentang Manuel Ugarte, posisi enam adalah salah satu yang kami mahu tandatangani untuk musim ini tetapi dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
“Dan saya tahu dalam bola sepak tertinggi, anda tidak mempunyai masa, mereka perlu tunjukkan prestasi terbaik dengan segera, tetapi tidak selalu realistik,” katanya. – AFP