
BERLIN: Bayer Leverkusen memecat pengurus, Erik Ten Hag, hanya selepas dua perlawanan Bundesliga musim ini, umum kelab Jerman itu, hari ini.
Keputusan itu hadir selepas Leverkusen sekadar seri 3-3 menentang Werder Bremen yang beraksi dengan 10 pemain hujung minggu lalu, keputusan yang tidak cukup untuk menyelamatkan jawatan jurulatih dari Belanda itu.
Sebelum itu, Leverkusen tewas 1-2 di laman sendiri kepada Hoffenheim pada aksi pembukaan liga, sekali gus meletakkan Ten Hag terus berada dalam tekanan sebaik memulakan tugas.
Ten Hag, yang tidak mengendalikan mana-mana pasukan sejak dipecat Manchester United pada Oktober tahun lalu, dilantik menggantikan Xabi Alonso pada Mei selepas bekas bintang Sepanyol itu berhijrah ke Real Madrid.
Musim lalu, Leverkusen muncul naib juara liga selepas Alonso mencipta sejarah membawa mereka meraih gelaran berganda pada musim 2023-24 termasuk menjuarai Bundesliga buat kali pertama denga rekod tanpa kalah.