Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Temu ramah eksklusif: Dr. Anna Sue, dari dunia akademik ke pentas warisan
  • INSPIRASI

Temu ramah eksklusif: Dr. Anna Sue, dari dunia akademik ke pentas warisan

Utusan Sarawak 24 hours ago
FIGURA unik Dr. Sharifah Suzana Wan Shukran lebih dikenali sebagai Dr. Anna Sue.

DR Sharifah Suzana Wan Shukran lebih dikenali sebagai Dr. Anna Sue merupakan figura yang unik, menggabungkan kepakaran akademik dalam bidang keusahawanan wanita dengan komitmen mendalam terhadap pemeliharaan seni dan warisan budaya Melayu Sarawak.

Dari perjalanan penyelidikan PhD yang fokus kepada peranan wanita dalam dunia perniagaan, beliau kini aktif memperjuangkan dan memartabatkan seni warisan melalui program Nuansa Seni.

Temu ramah eksklusif ini membongkar perjalanan karier, cabaran, serta visi Dr. Anna Sue dalam memperkasakan wanita dan melestarikan budaya tempatan secara kreatif dan berimpak.

DI sebalik keperibadian tegas, Dr. Anna Sue seorang pereka fesyen, usahawan, penata gaya fesyen, pendidik dan jurulatih.

Soalan (S): Boleh Dr. ceritakan sedikit perjalanan kerjaya Dr. daripada penyelidikan PhD tentang keusahawanan wanita di UiTM ke penglibatan aktif dalam acara budaya seperti Nuansa Seni di Sarawak?

Dr. Anna Sue: Saya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah kerana pada usia muda, saya memberi tumpuan utama kepada keluarga dan anak-anak. Namun begitu, saya tidak pernah berhenti menuntut ilmu dengan melanjutkan pelajaran secara separuh masa untuk mendapatkan ijazah sarjana dan PhD.

Pada 2009, saya memberanikan diri untuk berniaga secara komersial dengan membuka gerai menjual aksesori. Setahun kemudian, pada 2010, saya membuka butik di Medan Pelita dan Sarawak Plaza.

Ketika itu, saya menguruskan anak-anak yang masih kecil, menjalankan perniagaan, bekerja sambilan sebagai pensyarah di kolej, serta mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Eksekutif dalam Pentadbiran Perniagaan. Pada satu tahap, saya mengalami keletihan melampau akibat menguruskan terlalu banyak tugasan sekali gus.

Jadi, saya mengambil keputusan untuk menutup butik dan memberi fokus kepada anak-anak serta menamatkan pengajian sarjana saya. Namun, saya masih tidak dapat duduk diam, lalu saya menggunakan sebuah bilik kecil di rumah sebagai bengkel untuk menghasilkan koleksi dan mereka bentuk barangan kemas. Dari situ lahirnya jenama Anna Sue Couture.

Pada 2011, saya memulakan pengajian PhD dan memutuskan untuk menjalankan kajian mengenai usahawan wanita bertajuk ‘Usahawan Wanita di Malaysia: Peranan Orientasi Keusahawanan, Orientasi Pasaran dan Rangkaian Sosial dalam Mempengaruhi Kejayaan Perniagaan’. Saya memilih topik ini kerana saya percaya dapat memberikan sumbangan bermakna kepada usahawan wanita setelah menamatkan pengajian PhD saya.

Terlibat aktif dalam acara budaya bermula daripada minat saya terhadap tekstil Melayu Sarawak yang kurang mendapat perhatian. Saya merasakan perlu ada seseorang yang benar-benar komited untuk membuka peluang dan memartabatkan seni warisan Melayu Sarawak. Saya berada di posisi yang sesuai untuk memainkan peranan ini kerana sebagai seorang pereka fesyen, saya tahu saya boleh melakukan lebih daripada sekadar mencipta fesyen.

Dr. Anna Sue sebagai jurulatih memberi penerangan tentang penjenamaan diri.

S: Apakah peranan utama Dr. sebagai Pengarah Program Nuansa Seni, dan bagaimana Dr. memastikan representasi pelbagai warisan suku kaum Sarawak dipaparkan secara adil dan kreatif ?

Dr. Anna Sue: Sebagai Pengarah Program Nuansa Seni, peranan utama saya adalah sebagai pemikir strategik, kurator budaya, dan penghubung komuniti warisan. Peranan ini menuntut kepimpinan yang bukan sahaja kreatif, tetapi juga berempati, inklusif, serta berpaksikan nilai dan jiwa warisan.

Saya bertanggungjawab merangka tema, naratif, dan hala tuju program supaya selari dengan matlamat pemeliharaan seni dan warisan Melayu Sarawak. Saya memastikan elemen seni fesyen, persembahan, dan kraf diangkat bukan sekadar untuk tontonan, tetapi sebagai gambaran hidup masyarakat.

Saya juga menggalakkan peserta, pereka, dan penggiat seni dari suku kaum lain untuk menyertai Nuansa Seni supaya peluang ini tidak terhad kepada satu kaum sahaja. Proses ini merupakan satu pertukaran maklumat yang penting.

S: Dalam kajian PhD Dr. (2019), Dr. meneliti hubungan antara Orientasi Keusahawanan, Orientasi Pasaran dan Rangkaian Sosial terhadap kejayaan usahawan wanita di Malaysia. Boleh Dr. kongsikan beberapa penemuan utama dan implikasi praktikalnya?

Dr. Anna Sue: Penglibatan wanita dan prestasi mereka dalam bidang keusahawanan masih dianggap rendah walaupun pelbagai inisiatif telah diberikan.

Dengan menggunakan teori Orientasi Keusahawanan, Orientasi Pasaran, dan Rangkaian Sosial, penyelidikan ini cuba mengkaji hubungan antara faktor-faktor tersebut dalam mempengaruhi kejayaan usahawan wanita di Malaysia.

Penemuan utama menunjukkan bahawa Orientasi Keusahawanan dan Orientasi Pasaran mempunyai kesan positif terhadap prestasi wanita dalam keusahawanan, manakala Rangkaian Sosial tidak memberi pengaruh yang signifikan.

Ini bermakna usahawan wanita perlu bijak memilih rangkaian sosial yang benar-benar memberi manfaat dan sokongan kepada perniagaan mereka, kerana tidak semua rangkaian sosial memberikan keuntungan kepada perniagaan.

DR. Anna Su menjadi moderator pada sesi bual bicara inspirasI.

S: Bagaimana Dr. melihat konteks Sarawak menyumbang atau menambah cabaran tertentu kepada wanita yang ingin memulakan perniagaan?

Dr. Anna Sue: Pada pandangan saya, kita di Sarawak amat bertuah kerana kerajaan Sarawak banyak memberikan sokongan kepada usahawan wanita melalui pelbagai program keusahawanan, kursus, geran, dan sebagainya. Yang tinggal hanyalah usaha kita untuk mencari maklumat dan menunjukkan sikap rajin.

S: Martabatkan busana warisan Melayu Sarawak sebagai kurator fesyen di Nuansa Seni melibatkan elemen budaya dan estetika. Apakah cabaran paling besar ketika menyelaras pereka dari etnik berbeza?

Dr. Anna Sue: Persepsi dan sensitiviti budaya amat saya utamakan, oleh itu saya sentiasa mengingatkan para pereka supaya berhati-hati dalam pemilihan motif, aksesori, dan gaya pemakaian.

Penting untuk mengekalkan keseimbangan antara apresiasi budaya dan risiko pengambilan budaya secara tidak wajar (cultural appropriation).

Pereka dari etnik lain mungkin mentafsirkan busana Melayu melalui lensa kreatif mereka sendiri, yang kadang kala tidak selari dengan norma estetika, adat, atau sejarah Melayu Sarawak.

Saya memahami bahawa pereka-pereka kita sangat berbakat dan kreatif, dan interpretasi mereka mungkin berbeza-beza. Oleh itu, saya perlu memantau koleksi dan persembahan mereka dengan teliti untuk memastikan bahawa “kreativiti tidak mencederakan warisan, dan warisan tidak menyekat kreativiti.”

S: Bagaimana Dr. menggunakan fesyen tradisional sebagai medium pendidikan dan pemeliharaan warisan budaya kepada generasi muda?

Dr. Anna Sue: Saya menggunakan fesyen tradisional sebagai medium pendidikan dan pemeliharaan warisan melalui pendekatan yang interaktif, berjiwa, serta memberi impak langsung kepada generasi muda.

Oleh itu, saya memperkenalkan konsep “pertembungan dua zaman, satu jiwa” yang mana saya membenarkan pereka membawa elemen kontemporari dalam Nuansa Seni supaya dapat menarik minat golongan muda.

Selain itu, saya juga sering bekerjasama dengan pelajar dan institusi dengan melibatkan mereka dalam projek reka fesyen serta program berasaskan warisan, sama ada sebagai pereka gaya muda (junior stylist), kru, atau sukarelawan, untuk memberi peluang kepada mereka melakukan sesuatu secara langsung (hands-on experience).

DR. Anna Sue menyampaikan ceramah pada Program Kepimpinan Wanita 2020.

S: Apa motivasi Dr. untuk terus menggabungkan kerjaya akademik dengan aktivisme budaya masyarakat?

Dr. Anna Sue: Motivasi untuk terus menggabungkan kerjaya akademik dengan aktivisme budaya masyarakat datang daripada beberapa asas yang mendalam dan bermakna.

Antara prinsip utama yang saya pegang ialah ‘ilmu yang berakar, bukan terapung’— iaitu ilmu yang berpaksikan akar budaya dan nilai tempatan.

Akademik yang berlandaskan budaya menjadikan proses pembelajaran dan penyelidikan lebih relevan, kontekstual dan berimpak tinggi. Maka, apabila kita mengajar, kita bukan sekadar menyampaikan teori, tetapi juga menyumbang secara langsung kepada pembangunan masyarakat.

Pendekatan ini membolehkan kita menterjemahkan teori kepada tindakan nyata membina program, memelihara warisan dan memperkasakan komuniti. Ia menjadikan kerjaya akademik lebih bermakna, hidup dan menyumbang secara holistik.

Selain itu, apabila seseorang akademik memiliki asas keilmuan yang kukuh, mereka juga berpotensi menjadi suara kepada komuniti.

Ramai komuniti budaya, terutamanya yang minoriti, kurang mendapat akses untuk bersuara atau memperjuangkan warisan mereka.

Dalam hal ini, golongan akademik boleh menjadi jambatan untuk mendokumentasikan, mengangkat dan mempertahankan hak serta nilai seni dan budaya yang berharga dalam masyarakat kita.

DR. Anna Su bersama usahawan tempatan.

S: Boleh Dr. kongsikan nilai atau prinsip hidup yang menjadi panduan dalam kedua-dua bidang ini?

Dr. Anna Sue: Apabila kita mendekati seni warisan dan budaya, prinsip yang saya pegang teguh ialah ia merupakan satu ‘amanah’ — tanggungjawab intelektual dan juga tanggungjawab jiwa.

Setiap usaha yang dilakukan dengan sepenuh hati memberi makna yang jauh lebih mendalam kepada peranan saya sebagai pendidik, pemelihara, dan penyambung warisan budaya.

Saya percaya bahawa apabila satu bentuk seni dipulihkan, sebuah komuniti turut dibangkitkan semula dan dengan itu, satu warisan dapat terus hidup dan diwariskan ke generasi akan datang.

S: Apakah cabaran terbesar yang pernah Dr. hadapi semasa memperjuangkan pameran budaya atau usaha keusahawanan wanita sama ada dari aspek organisasi, sosial atau politik?

Dr. Anna Sue: Antara cabaran organisasi terbesar yang saya hadapi dalam memperjuangkan seni dan warisan budaya ialah kekurangan dana dan sumber.

Untuk menganjurkan sesuatu acara kebudayaan, kos yang diperlukan sangat tinggi. Pada peringkat awal, saya berhadapan kesukaran mendapatkan sokongan kewangan, memandangkan masih wujud tanggapan dalam kalangan sesetengah pihak bahawa budaya bukanlah satu industri yang penting.

Malah, usaha ini kadangkala dilihat sekadar sebagai aktivisme semata-mata. Namun begitu, setelah bertahun-tahun berusaha memartabatkan seni dan warisan Melayu Sarawak, penerimaan terhadap inisiatif ini semakin bertambah baik.

Saya amat menghargai sokongan yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang sentiasa menyokong usaha saya. Setiap program yang saya jalankan bukan sahaja memberi nilai budaya, malah saya pastikan ia menyumbang kepada pembangunan pelancongan dan identiti negeri.

Selain itu, sokongan daripada komuniti juga menjadi satu cabaran. Ada kalanya, masyarakat kurang menghargai usaha memulihara budaya, dan peranan wanita sebagai pemimpin pula sering dipandang rendah.

Namun bagi saya, untuk menjadi pemimpin yang berkesan, seseorang itu perlu berani dan tidak bergantung sepenuhnya kepada sokongan luar. Jika satu jalan tertutup, saya percaya pasti ada jalan lain yang boleh diteroka.

Saya juga berdepan cabaran dalam menarik minat generasi muda terhadap budaya tradisional. Tanpa penglibatan golongan muda, kesinambungan warisan sukar dipertahankan. Usaha perlu digiatkan untuk mendekatkan mereka kepada budaya dengan cara yang relevan dan menarik.

Satu lagi isu yang membimbangkan ialah peniruan karya atau motif warisan tanpa pengiktirafan kepada komuniti asal. Apabila warisan digunakan tanpa pemahaman dan tanpa nilai sentimental terhadap asal-usulnya, ia boleh mencederakan makna budaya itu sendiri.

Malangnya, proses untuk mendapatkan perlindungan harta intelek bagi hasil warisan ini masih mencabar kerana pelbagai kekangan teknikal dan kesedaran yang belum menyeluruh.

RAKAM kenangan bersama peserta pembinaan pasukan.

S: Bagaimana Dr. menangani tekanan serta memastikan kesihatan mental tetap terjaga ketika memikul tanggungjawab berat?

Dr. Anna Sue: Saya akan melibatkan pasukan yang saya percaya mampu melaksanakan tugasan yang diberikan dengan berkesan kerana saya tidak mahu dibebankan dengan isu-isu berkaitan ketidakprofesionalan. Apabila saya memilih seseorang untuk menyertai pasukan saya, mereka perlu menunjukkan prestasi yang baik—jika tidak, saya tidak akan memberikan peluang tersebut lagi.

Saya juga menjaga kesihatan mental dengan tidak membiarkan diri terbeban oleh perkara yang tidak perlu, contohnya dengan tidak melayan hantaran-hantaran viral berunsur negatif di media sosial.

Selain itu, saya memastikan agar mendapat rehat yang mencukupi dan tidur yang berkualiti bagi mengekalkan kesejahteraan fizikal dan mental.

RAKAM kenangan bersama peserta salah satu program yang dikendalikan oleh Dr. Anna Su.

S: Siapakah tokoh (tempatan atau antarabangsa) yang paling memberi inspirasi dalam bidang keusahawanan wanita atau pemuliharaan budaya?

Dr. Anna Sue: Allahyarhamah Azah Aziz merupakan tokoh yang sangat saya kagumi. Beliau memainkan peranan penting dalam memelihara, mendokumentasikan dan mempromosikan budaya tradisional Melayu, bahasa serta memperjuangkan hak wanita.

Saya ingin dikenang seperti beliau sebagai penjaga jati diri budaya Melayu, suara kepada wanita, dan jambatan budaya antara tradisi dan kemodenan.

S: Di mana Dr. merancang untuk memberi kesan pada tahun-tahun mendatang? Contohnya, adakah rancangan untuk memperluas program Nuansa Seni atau melahirkan modul pendidikan berasaskan warisan?

Dr. Anna Sue: Memang menjadi perancangan saya untuk memperluaskan program Nuansa Seni, termasuk membawa Nuansa Seni ke peringkat antarabangsa serta mendokumentasikannya agar dapat diwarisi dan dirujuk oleh generasi akan datang.

S: Boleh Dr. berikan nasihat khusus kepada wanita muda Sarawak atau Malaysia yang bercita-cita menyertai bidang keusahawanan sosial, budaya atau fesyen berteraskan warisan?

Dr. Anna Sue: Jika anda ingin melakukan sesuatu, lakukanlah dengan matlamat yang jelas bukan sekadar mengikut trend. Mulakan secara kecil, tetapi lakukan dengan konsisten dan berimpak.

Belajarlah, fahamilah, dan banggalah dengan budaya sendiri. Lihat warisan budaya sebagai kekuatan, bukan kelemahan. Gunakan elemen tempatan seperti songket, motif etnik, cerita rakyat dan anyaman sebagai identiti jenama anda.

Gabungkan tradisi dan inovasi, agar warisan dapat dilestarikan dalam bentuk yang lebih segar dan relevan dengan cita rasa generasi moden.

SWAFOTO bersama peserta.

S: Jika Dr. boleh memberi nasihat kepada diri Dr. pada usia 20-an tentang pemilihan kerjaya dan penglibatan aktif dalam masyarakat, apa ia?

Dr. Anna Sue: Pada usia 20-an, saya seorang yang pemalu, penakut, dan agak introvert. Saya lebih selesa berada di rumah, menguruskan rumahtangga pada usia yang masih muda.

Jika saya boleh kembali ke masa itu, saya akan memberanikan diri untuk lebih yakin dan jujur dengan diri sendiri. Saya akan berkata kepada diri saya: ‘Gunakan usia mudamu untuk membina bukan hanya kerjaya dan keluarga, tetapi juga legasi.

S: Di luar dunia profesional, adakah Dr. mempunyai aktiviti peribadi atau rutin yang membantu minda kekal kreatif dan produktif ?

Dr. Anna Sue: Menyulam keringkam merupakan terapi bagi saya. Ia memberikan ketenangan dan kepuasan yang sukar digambarkan. Selalunya saya melakukannya sambil menonton video acara antarabangsa atau video motivasi di YouTube dan di sinilah lahirnya banyak idea besar saya.

Selain itu, saya juga melakukan aktiviti sukan ringan seperti cardio dance, brisk walk, serta menyertai acara berjalan atau maraton bersama keluarga. Ia membantu saya kekal aktif, sihat, dan seimbang secara fizikal dan mental.

DR. Anna Su berpose bersama rekaan busana unik.

S: Adakah satu fakta menarik mengenai Dr. yang kebanyakan orang tidak tahu, tetapi membantu menjelaskan sisi lain personaliti Dr.?

Dr. Anna Sue: Di mata umum, saya dikenali sebagai seorang yang sangat tegas dan sangat teliti dalam banyak perkara. Walaupun tegas dan memiliki wajah yang garang serta tidak banyak bercakap, saya juga menghargai kehalusan dan kelembutan dalam kehidupan. Perpaduan ciri-ciri ini membentuk keperibadian saya yang unik.

Sebenarnya, saya memang meminati kucing sejak dulu lagi. Bagi saya, kucing bukan sahaja haiwan peliharaan biasa, malah mereka mempunyai personaliti yang unik dan mampu membawa ketenangan dalam hidup.

Melihat kucing bermain, tidur dengan lena, atau sekadar mengelilingi rumah memberi saya rasa damai dan mengurangkan tekanan harian.

Minat saya pada kucing juga mengajar saya tentang kesabaran dan kasih sayang tanpa syarat. Mereka mengingatkan saya untuk menghargai hal-hal kecil dalam kehidupan dan sentiasa memberi perhatian walaupun pada perkara yang nampak sederhana.

Kucing adalah sahabat yang setia, dan kehadiran mereka memberi warna dan kegembiraan dalam rutin harian saya.

Oleh Yanti Sham

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Anak muda Petra Jaya buka bengkel motosikal dari rumah
Next: Bekas ratu cantik Malaysia Harveen Kaur cipta rekod dunia pendakian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.