TIGA buah buku tulisan anak Sarawak mengenai Penaklukan Jepun.
PEPERANGAN adalah kesengsaraan. Ketika peperanganlah kekejaman manusia terserlah, mengakibatkan kesengsaraan yang bukan kepalang.
Atas kesedaran itulah apabila Rusia menyerang Ukraine ketika ini, ramai dalam kalangan rakyat kita dari angkatan Baby Boomers (mereka yang lahir antara 1946 hingga 1964) bagaikan teroleng nostalgia mereka tentang peristiwa Penaklukan Jepun di Sarawak dari 1941 hingga 1945.
Mereka amat mengerti apa itu erti peperangan, apa kesannya ke atas manusia, dan betapa kedamaian dan perpaduan amat berharga.
Segelintir dari golongan Baby Boomers ini, ketika usia persaraan mereka, telah menerbitkan buku mereka yang merakamkan peristiwa-peristiwa sedih, pahit, ngeri, kejam dan perbauran pelbagai macam emosi, yang dialami ketika peperangan berlaku.
Dalam simpanan buku di pustaka mini persendirian saya di rumah, saya menghargai perkongsian yang dilakarkan oleh tiga orang anak Sarawak yang menulis berkaitan perkara itu.
Mereka terdiri dari Edward Lakin Mansel yang baru sahaja menerbitkan bukunya berjudul “Son of Sarawak” (2020); Safri Awang Zaidell “Yesterday A Better Tomorrow” (2009); dan Julitta Lim Shau Hua “From An Army Camp To A Teachers’ College” (1995).
Tulisan-tulisan mereka masing-masing mengongsikan pengalaman, pengetahun dan penyelidikan yang mereka telah lakukan berkaitan bagaimana rakyat Sarawak melalui kehidupan harian mereka.
Mereka mengongsikan cerita masing-masing dari sudut yang pelbagai, dari latar belakang yang berbeza, namun menghala ke satu citarasa yang sama: hentikanlah peperangan, tegakkan perdamaian, dan hargailah kehidupan yang harmonis.
“SON OF SARAWAK”
Dalam bukunya “Son of Sarawak” Edward Lakin Mansel merakamkan pengalaman pahit masa kecil beliau ketika lahir di Sibu, tanpa mengetahuI di mana bapanya yang merupakan seorang pegawai Inggeris yang bernama Francis Lakin Mansel.
Bapanya merupakan seorang pegawai Inggeris kelahiran England, yang ditugaskan sebagai Postmaster untuk Bahagian Ketiga berpangkalan di Sibu oleh Raja Vyner Brooke.
Semasa Francis bertugas di Kuching, beliau telah bertemu jodoh dengan Toshiko Kimura, yang merupakan anak perempuan sulung warganegara Jepun Hiroshi Kimura dari perkahwinannya dengan Jijah ak Sipatek, seorang perempuan Bidayuh di Kampung Quap, Kuching.
Sehingga hari ini, masih ada sebuah jalan yang dinamakan Jalan Kimura di Kampung Quap, yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kawasan Kota Padawan (yang ketika itu dikenali sebagai Batu 10).
Pada ketika Edward masih lagi dalam kandungan ibunya Toshiko Kimura, berita tentang tentera Jepun akan menyerang Sibu selepas Kuching sudah ditawan pun tersebar, maka sekumpulan pegawai Orang Putih diketuai oleh Residen Sibu ketika itu bernama Andrew MacPherson berkeputusan untuk bersembunyi ke kawasan yang dipercayai sukar disampai oleh tentera Jepun.
Mereka mengenalpastikan Long Nawang, yang merupakan pangkalan luar tentera Belanda di Kalimantan Timur dekat sempadan. Oleh kerana bimbang akan kesihatan Toshiko Kimura dengan kandungannya, Francis Lakin Mansel berkeputusan untuk tidak membawanya bersama lari ke Long Nawang.
Malangnya, tempat persembunyian mereka itu dapat dikesan oleh tentera Jepun dan kesemua anggota pegawai Inggeris itu dibunuh habis dalam keadaan penuh kengerian, tanpa seorang pun yang hidup.
Edward Lakin Mansel, penulis buku “Son of Sarawak” lahir di Sibu pada 4 Januari 1942, kurang dua minggu dari tarikh bapanya melarikan diri ke Long Nawang, tanpa mengetahui siapa, di mana, dan bagaimana rupa bapanya.
Dia dibawa oleh ibunya kembali ke Kuching ke kebun getah milik keluarga di Kampung Quap sehinggalah kemudiannya ibunya berkahwin lagi dengan seorang Iban yang bernama Jonathan Saban, yang menjadi ayah tiri Edward.
Hiroshi Kimura dibenarkan kembali ke kebun getahnya
Dalam bukunya itu, Edward Lakin Mansel juga menceritakan apa yang berlaku dengan datuknya Hiroshi Kimura. Dia dibebaskan oleh tentera Jepun daripada siasatan ketat kerana yakin dengan penerangan yang diberikan oleh seorang paderi geraja Anglikan bernama Peter Howes yang merupakan kawan rapat Hiroshi Kimura. Kimura dan Howes adalah kawan rapat.
Hiroshi Kimura datang ke Kuching pada 1930-an menggunakan passport negara Jepun, sebelum Perang Dunia Ke-2 bersama-sama dengan sekumpulan sekitar 100 rakyat Jepun lain.
Mereka bekerja di sebuah estet getah dalam daerah Samarahan milik sebuah syarikat bernama Nissa Shokai Ltd milik seorang rakyat Jepun Dr Matsumoto yang juga membuka kliniknya di No. 11, Lebuh India. Blok bangunan ini masih wujud lagi hingga ke hari ini.
Di tingkat 2 unit klinik itu dijadikan pusat pengintipan yang dinamakan ‘Yorioka Kikan’. Semua maklumat penting tentang sekuriti Sarawak disampaikan ke Ibupejabat Ketenteraan Jepun di Tokyo.
Pada waktu itu sumber semula jadi seperti minyak, tin dan getah amat diperlukan oleh Jepun selain telaga minyak Borneo kerana Jepun bimbang akan rizab minyaknya yang hanya baki bertahan bekalan selama dua tahun ketika Perang Dunia Ke-2 tercetus. Penaklukan Borneo menjadi agenda penting bagi kerajaan Jepun ketika itu.
Pengeboman Pearl Harbour 1941
Bagi rakyat Jepun awam yang berada di Sarawak, mereka ditangkap dan disoalsiasat oleh Polis Tentera Kempei Tai, di Rumah Rehat Kerajaan di Convent St Theresa, termasuklah Hiroshi Kimura dan dua orang anak lelakinya Jerin dan Eddy. Isterinya Jijah ak Sipatek serta enam orang anak lainnya tidak ditangkap, sebaliknya dibenarkan pulang ke kebun mereka di Kampung Quap.
Bagi pegawai Orang Putih dan pekerja-pekerja dari kalangan rakyat tempatan, mereka berlindung di Pejabat Pos Besar di Jalan Tun Abang Haji Openg yang masih megah berdiri sekarang, kerana ketika itu tempat itu adalah ibu pejabat Pasukan Pertahanan Sarawak.
Mereka ditangkap, dan dibawa ke Astana. Di situ mereka diikat dalam bilik kecil tanpa diberi makanan dan minuman selama dua hari. Para pekerja dari kalangan orang Cina dibebaskan untuk membenarkan mereka meneruskan perniagaan mereka untuk manfaat tentera Jepun.
Paderi Peter Howes menyerahkan dirinya kepada tentera Jepun, sambil ditemani oleh Kimura. Ketua Kempei Tai yang kebetulan fasih berbahasa Inggeris berpuas hati dengan penjelasan Howes.
Peter Howes dipenjarakan di Pusat Tahanan Batu Lintang selama empat tahun, dan selepas itu beliau dibebaskan dan meneruskan perkhidmatannya di Sarawak sehingga beliau dinaikkan menjadi Uskup.
Beliau kemudiannya bersara di kediamannya di York, England sehinggalah kematiannya pada 12 April 2003 pada usia 92 tahun.
Ketika Kimura disoalsiasat beliau gagal untuk mendedahkan di mana tentera Punjabi yang diupah oleh kerajaan Brooke menyembunyikan senjata-senjata mereka, Kimura ditampar oleh Kempei Tai, sebelum beliau dibebaskan untuk kembali ke kebun getahnya.
Selepas itulah Kimura benci akan kezaliman tentera Jepun terhadap orang awam.
Keadaan ini berlaku selepas Tentera Amerika Syarikat berjaya mengebom Pearl Harbour pada 1941.
Miri diserang 16 Disember 1941
Tentera Jepun menyerang Miri pada awal pagi 16 Disember 1941 dan Kuching pada 24 Disember 1941.
Ketika itu, Safri Awang Zaidell masih kecil, diam di kediaman Pegawai Polis kerana bapanya, Haji Ahmad Zaidell merupakan Pegawai Menguasa Daerah Polis (OCPD) Miri.
Dalam bukunya “Yesterday A Better Tomorrow” beliau menulis dengan perincian bagaimana tentera Jepun datang dalam beberapa buah kapal dan perahu dari muara Sungai Miri, lengkap dengan persenjataan yang cukup hebat. Diperturunkannya juga tulisan-tulisan bapanya dalam catatan harian yang menggambarkan dengan jelas apa yang berlaku setiap hari.
Ramai penduduk Miri ketika itu lari ke pedalaman jauh dari bandar.
Oleh kerana Safri ketika itu masih bersekolah, beliau mencatatkan bagaimana mereka juga terpaksa membaca dan bercakap dalam bahasa Jepun, menyanyi lagu Jepun seperti “Momotaro-san” yang mengisahkan tentang seorang budak kecil di dalam buah labu; serta lagu kebangsaan Jepun “Kimigayowa”.
Safri Awang Zaidell juga pernah turut bersama-sama rakan sekolahnya mengunjungi penjara yang terletak tidak jauh dari kediamannya dan menceritakan bagaimana tawanan Orang Putih diperintah membersihkan kawasan penjara oleh tentera Jepun.
Mereka yang merupakan pegawai tinggi sebelum perang, disuruh mencuci longkang, membuat batasan tanaman sayuran, dikerahkan bagaikan kuli.
Seorang pegawai tinggi dipaksa untuk mengakui beliau mencuri sesuatu. Apabila beliau tidak mengaku beliau ditendang bertalu-talu. Begitulah kekejaman tentera Jepun, yang mahukan apa-apa tuduhan ke atas mereka diakui, jika mahu bebas dari hukuman.
Khemah Punjabi jadi Khemah Batu Lintang
Dari kaca mata puan Julitta Lim Shau Hua, anak Sarawak kelahiran Tatau, beliau menyerlahkan bahawa tapak yang kemudiannya dikenali sebagai Koleh Perguruan Batu Lintang, pada asalnya merupakan berek untuk tentera Punjabi pada awal 1941.
Puan Julitta adalah pensyarah bahasa Inggeri di Kolej itu.
Melalui perjanjian dengan Rajah Brooke pada 1888 Rejimen 2/12 Punjabi telah digunakan untuk mempertahankan Sarawak apabila kena serang.
Di situlah askar Punjabi berjuang keras, sehingga ramai juga dari kalangan mereka terbunuh.
Pada akhir pertempuran kira-kira 70 orang daripada mereka dipenjara di Khemah Batu Lintang itu. Masih ada segelintir daripada mereka terselamat sehingga akhir peperangan dan beranak-pinak di Sarawak.
Kedaifan kehidupan
Kehidupan yang digambarkan oleh penulis itu tentang tawanan perang itu termasuklah bagaimana mereka terpaksa makan pucuk pokok getah pada ketika makanan sukar untuk diperolehi, selain memakan siput dan cicak.
Dalam kata pengantar yang ditulis oleh Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, bertarikh 1 Ogos 1995 dalam buku itu beliau memuji usaha Puan Julitta Lim kerana berjaya merakamkan episod hitam Sarawak.
Tan Sri Dr Chan, yang ketika itu Menteri Kewangan dan Kemudahan Awam Sarawak, menganggap penyerlahan segala yang dikongsikan dalam buku itu menjadi peringatan generasi tua dan menjadi pengajaran bagi generasi muda betapa bernilainya keamanan dan kestabilan dalam sesebuah negara. Peperangan adalah kezaliman, katanya.