RYNNA SHA’ERRA
KUCHING: Tempoh 14 hari berkempen adalah memadai untuk semua parti politik bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November nanti.
Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Fadillah Yusof berkata tempoh itu cukup untuk berkempen dan menyebarkan maklumat kepada pengundi.
“Saya juga percaya semua parti (politik) yang akan bertanding telah bersiap sedia dan sudah turun ke akar umbi daripada awal lagi memandangkan pilihan raya kali ini memang sudah dijangka akan diadakan pada bila-bila masa.
“Pada zaman teknologi maklumat (IT) dan sebaran informasi ini juga, setiap calon dan parti tentunya banyak menggunakan platform media sosial untuk berkempen dengan banyak maklumat boleh disampaikan kepada pengundi dalam sekelip mata,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi PRU-15, manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November selain hari pengundian awal pada 15 November ini.
Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berharap peratusan pemilih berdaftar yang keluar mengundi akan lebih ramai ekoran pemilihan Sabtu sebagai hari mengundi.
Menteri Kanan Kerja Raya itu berkata, majoriti rakyat di segenap lapisan masyarakat dan di setiap pelosok negara mempunyai lebih kelapangan untuk keluar mengundi dengan selesa pada Sabtu.
Beliau berkata, GPS juga sudah bersiap sedia dan akan bertanding di semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak dengan kempen bertemakan ‘Utamakan Sarawak’.
Bagaimanapun beliau berharap supaya semua parti dan calon yang akan bertanding serta jentera semua parti, mematuhi segala garis panduan dan undang-undang SPR bagi memastikan proses PRU-15 berjalan lancar.
“Semoga sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk selepas PRU-15 demi rakyat dan Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya.