KUCHING: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) kembali lagi dan bagi penggemar muzik dari seluruh dunia, sudah pastinya teruja untuk mendapatkan pas masuk dengan harga berpatutan jika ditempah awal.
Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menerusi kenyataan media hari ini memaklumkan harga tempahan awal tiket kemasukan akan mulai dijual esok.
Tiket dijual pada tiga harga berbeza mengikut lima kategori kemasukan.
Harga tempahan awal pas masuk satu hari bagi golongan dewasa, dijual serendah RM190 untuk penyertaan pada Jumaat atau Ahad manakala RM220 bagi Sabtu.
Pas masuk untuk dua hari golongan dewasa bagi yang menempah awal pula cuma RM360 dan penyertaan tiga hari ialah RM480.
Tiket tempahan awal untuk sehari bagi kanak-kanak pula dicaj pada harga RM80.
Pada tahun ini, RWMF bakal menampilkan barisan jemputan luar negara.
Antaranya, termasuk penerima lapan pencalonan Grammy.
Barisan pemuzik tersebut ialah Gipsy King dari Perancis, Big Mountain dari Jamaica, ‘Safi Theatre’ (Tanzania), ‘Rastak’ (Iran), ‘Fasylive’ (Maldives), ‘Afriquoi’ (United Kingdom), ‘Chatusram’ (India), ‘Rizal Hadi & Folk’ (Indonesia), ‘Thai Fusions Sound Band’ (Thailand) dan banyak lagi dari Jepun, Hong Kong dan Singapura.
Beberapa artis tempatan juga bakal dijemput untuk menghiburkan para pengunjung.
Mereka ialah Zee Avi, Suk Binie, APU, Nadir, Steve Thornton Band, Sada Borneo, Tuku Kame, Nading Rhapsody, Geng Wak Long, Buloh Berkocak, At Adau, Meruked dan Orang Orang Drum.
Acara yang dinantikan oleh penggemar muzik dari seluruh dunia ini akan berlangsung pada 23 hingga 25 Jun bertempat di Kampung Budaya Sarawak (KBS).
Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web rasmi rwmf.net.