
MARUDI: Temasya Sukan Sekolah merupakan platform penting dalam memupuk budaya berpasukan dalam kalangan pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau, berkata pendedahan kepada aktiviti sukan seperti ini perlu diteruskan dan dilaksanakan secara sistematik bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja aktif, tetapi juga berdisiplin dan berdaya saing.
“Pelajar yang terlibat dalam temasya sukan sekolah ibarat permata yang perlu digilap agar kelak mampu menyinar di persada sukan negara,” katanya.
Menurut Dennis, negara hari ini ketandusan atlet yang mampu membawa nama negara ke pelosok dunia yang mana kejohanan ini juga merupakan wahana dalam mencari dan menggilap bakat para atlet di samping mengeratkan dalam kalangan guru dan pelajar.

Dalam pada itu jelas beliau, Temasya Sukan Sekolah adalah untuk melonjakkan semangat kesukanan para pelajar yang akan menjadi tulang belakang negara pada masa depan.
Selain mencungkil potensi bakat baharu dalam sukan belapan, pertandingan ini juga akan mengukuhkan keyakinan diri serta menyuntik elemen kreatif dan inovasi dalam kalangan pelajar pelajar terutama dalam acara kawad kaki.
“Semua ini akan menguji daya fikir dalam menjana kemenjadian pelajar yang cemerlang dan bersahsiah terpuji,” kata beliau.
Dennis berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Kejohanan Olaharga SMK Marudi di Kompleks Sukan Marudi di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Marudi, Reagan Edwin bagi mewakili beliau merasmikan kejohanan tersebut.
Dalam pada itu Dennis menggalakkan pelajar agar terus tekun dalam pelajaran kerana masa depan pelajar semakin cerah dengan pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan Sarawak.
Katanya antara inisiatif penting ialah Pendidikan tinggi percuma untuk anak-anak Sarawak di universiti awam tempatan melalui Dana Pendidikan Sarawak dan elaun khas pelajar.
Beliau turut menekankan bahawa inisiatif ini membuktikan bahawa kerajaan Sarawak benar-benar komited dalam melahirkan modal insan yang cemerlang dan memastikan tiada anak Sarawak tercicir daripada peluang pendidikan tinggi selaras dengan hasrat kita melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk membina negeri maju berpendapatan tinggi, ditunjangi oleh rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran.
Tambah Dennis pendidikan dan aktiviti sukan seperti hari ini bukanlah dua perkara yang berasingan, tetapi saling melengkapi dalam membentuk masa depan yang cemerlang.
“Jadilah pelajar yang aktif, berdisiplin dan bijak mengimbangkan akademik serta kokurikulum kerana Sarawak bergantung kepada semua pelajar sebagai pemimpin masa hadapan,” tambah Dennis.
Pada kejohanan itu Dennis memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 menerusi peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada pihak sekolah.
Turut hadir, Pengetua SMK Marudi, Mohd Effendi Panglima, YDP PIBG SMK Marudi, Penghulu Blalang Atom, Pemanca Jamel Sabil, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid Pejabat PPD Baram Paris Lawai bagi mewakili Ketua Pegawai Pendidikan Baram dan barisan KMKK.
Oleh Jiku Juguong