Telekomunikasi berkualiti jadi keutamaan, kawasan kritikal di DUN Lingga diberi tindakan segera

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LINGGA: Usaha memperkukuh liputan telekomunikasi dan internet di kawasan luar bandar terus menjadi keutamaan bagi memastikan penduduk tidak tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan digital serta perkhidmatan komunikasi yang lebih berkualiti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, penyelarasan yang berkesan antara pelbagai agensi berkaitan amat penting bagi menangani isu liputan telekomunikasi yang masih dihadapi di beberapa kawasan di Daerah Lingga.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus dan lawatan tapak berhubung isu liputan telekomunikasi di Daerah Lingga yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Lingga, di sini, semalam.

DAYANG Noorazah menghadiri sesi libat urus dan lawatan tapak berhubung isu liputan telekomunikasi di Daerah Lingga yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Lingga, dekat sini kemarin. Foto: ADUN Lingga

Menurutnya, sesi berkenaan menjadi platform penting untuk membincangkan status semasa liputan telekomunikasi di daerah itu, selain mengenal pasti kawasan yang masih mengalami masalah liputan serta lokasi kritikal yang memerlukan tindakan segera.

“Sesi ini turut memberi ruang kepada semua agensi berkaitan untuk menyelaras peranan masing-masing dalam merangka langkah penambahbaikan yang lebih berkesan demi meningkatkan mutu perkhidmatan telekomunikasi kepada rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan, antara fokus utama perbincangan ialah mengenal pasti kawasan berpenduduk yang masih mengalami gangguan atau ketiadaan liputan internet supaya penyelesaian yang bersasar dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Selain itu, usaha memperkukuh kerjasama antara agensi berkaitan akan dipertingkatkan bagi memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara bersepadu, sekali gus meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek dan penambahbaikan infrastruktur telekomunikasi.

Dayang Noorazah berkata, aspek kualiti dan ketersediaan perkhidmatan turut diberi perhatian agar liputan yang disediakan lebih stabil, berkualiti serta memenuhi keperluan pengguna, khususnya penduduk di kawasan luar bandar.

Beliau berharap usaha bersepadu itu dapat memperkukuh capaian telekomunikasi di seluruh kawasan DUN Lingga, sekali gus menyokong pertumbuhan sosioekonomi, memperluas akses kepada pendidikan digital, perniagaan serta penyampaian perkhidmatan kerajaan demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

Oleh Adi Safarman