ISTANBUL: Aplikasi pemesejan Telegram dilaporkan hilang seketika daripada hasil carian App Store Apple di seluruh dunia sebelum syarikat itu mengesahkan bahawa aplikasi berkenaan telah dipulihkan, lapor Anadolu Ajansi.
“Telegram telah dipulihkan di App Store dan dijangka tersedia semula kepada semua pengguna dalam masa terdekat,” menurut platform itu ketika menjawab pertanyaan Anadolu susulan gangguan berkenaan.
Walaupun halaman khusus Telegram di App Store kembali aktif, aplikasi itu masih belum muncul dalam hasil carian langsung setakat 0200 GMT.
Sepanjang gangguan singkat itu, aplikasi berkenaan tidak dapat dimuat turun oleh pengguna baharu.
Bagaimanapun, pengguna yang sudah memuat turun pada peranti masing-masing memaklumkan perkhidmatan pemesejan itu terus berfungsi seperti biasa.
Punca kehilangan aplikasi itu masih belum dapat dipastikan, termasuk sama ada ia berpunca daripada masalah teknikal.
Telegram kekal tersedia di Play Store Google untuk pengguna Android.
Apple dan pengasas Telegram Pavel Durov masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu berkenaan.
Apple pernah mengeluarkan aplikasi itu daripada App Store pada 2018.
Ketika itu, Durov berkata tindakan berkenaan dibuat kerana Telegram didakwa menyediakan “kandungan tidak sesuai” kepada penggunanya. – Bernama-Anadolu




