Teksi MADANI sasar generasi muda terajui industri

Facebook
WhatsApp
DATUK Hasbi Habibollah melihat model teksi baharu yang diperkenalkan menerusi Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Amity Hall, Kompleks UNIFOR, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Golongan muda perlu tampil menceburi industri teksi bagi memastikan sektor pengangkutan awam itu terus berkembang dan kekal relevan pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, penglibatan generasi muda penting bagi memastikan kesinambungan industri teksi yang telah lama menjadi salah satu sumber rezeki masyarakat.

“Kita berharap golongan muda turut berkecimpung bagi memastikan industri teksi terus berkembang dan kekal relevan pada masa hadapan.

“Kita tahu pemandu teksi ini kebanyakannya sangat bersemangat. Ayahanda-ayahanda kita dahulu pun ramai yang terlibat dalam industri ini dan sekarang ada golongan muda yang mengambil alih daripada keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Amity Hall, Kompleks UNIFOR, di sini, hari ini.

Menurutnya, golongan muda juga mempunyai potensi mendapatkan pembiayaan atau pinjaman yang lebih mudah bagi menyertai industri berkenaan.

Hasbi menjelaskan, faktor usia dan kemampuan kewangan boleh memberi kelebihan kepada golongan muda untuk mendapatkan pembiayaan bagi memulakan atau meneruskan perniagaan teksi.

“Kalau yang muda-muda itu, insya-Allah, mungkin lebih mudah untuk mendapatkan pembiayaan dan pinjaman.

“Kalau yang sudah berusia, kadangkala perlu fikir juga tentang kemampuan untuk meneruskan dan sebagainya,” ujarnya.

Hasbi berkata Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional bukan sekadar usaha menggantikan kenderaan lama dengan kenderaan baharu, sebaliknya satu usaha menyeluruh untuk mentransformasikan ekosistem industri teksi.

Katanya, transformasi itu memberi tumpuan kepada kesejahteraan pemandu, keselamatan dan keselesaan penumpang serta kelestarian industri pengangkutan awam negara.

Dalam pada itu, beliau berkata pemandu teksi kini turut boleh menggunakan platform dalam talian selain beroperasi dari stesen teksi, sekali gus memberi ruang kepada mereka menyesuaikan perkhidmatan dengan perubahan dan persaingan semasa.

“Usaha meremajakan industri teksi penting bagi memastikan sektor itu terus menjadi pilihan sebagai sumber pendapatan, selain menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih moden, selamat dan selesa kepada pengguna,” katanya. 

Oleh Adele Rissa