
KEMEGAHAN pesawat yang meluncur pantas di langit pada suatu ketika, ia akan malap seiring peredaran masa.
Sekalipun ia kekal nampak sempurna di mata, pada hakikatnya ia mungkin terpaksa mengalah jika bukan disebabkan fizikal yang telah “tua”, ia juga ketinggalan dengan teknologi yang jauh lebih moden dan canggih yang dicipta melampaui keupayaannya menerima perubahan.
Pesawat udara yang terdiri dalam pelbagai reka bentuk dan saiz, tidak kira ia kapal terbang tempur, komersial ataupun helikopter, ia adalah simbol kemajuan teknologi yang pernah mendominasi ruang angkasa dengan luas pada masa ia dilancarkan.
Namun, setiap pesawat ini perlu akur akan tarikh luput yang perlu dihadapi, bukan kerana ia tidak berguna lagi tetapi mungkin kerana faktor keselamatan, peningkatan kos operasi atau persaingan teknologi yang lebih moden dan efisien.
Pertimbangan faktor keselamatan bertitik tolak dengan pengalaman yang dialami dalam industri penerbangan apabila tragedi yang berlaku pada 1988, sebuah kapal terbang Boeing 737 milik Aloha Airlines mengalami kegagalan struktur yang menyebabkan sebahagian besar bahagian atas fuselaj kapal terbang terkoyak ketika di udara.
Kejadian ini menyebabkan seorang pramugari bernama Clarabelle Lansing tercampak keluar dari kapal terbang dan kehilangan nyawanya.
Hal ini berlaku kerana setiap pesawat akan mengalami proses “pressurisation” atau penyesuaian tekanan dalam kabin pesawat apabila berada pada altitud yang tinggi.
Setiap kali pesawat berlepas, tekanan dalam kabin akan dinaikkan untuk memastikan penumpang dan kru penerbangan dapat bernafas dengan selesa pada ketinggian tinggi kerana tekanan luar pesawat berada dalam tekanan yang rendah.
Proses ini berlaku berulang-ulang kali setiap kali ia beroperasi dan keadaan ini boleh menyebabkan kelesuan logam terjadi sekalipun ia dibina menggunakan logam yang tahan lasak seperti aluminium dan titanium.
Kejadian pesawat Aloha Airlines contohnya telah menjalani lebih daripada 89,000 kitaran penerbangan iaitu lepas landas dan pendaratan yang jauh melebihi reka bentuk asalnya.
Faktor ini ditambah dengan program penyelenggaraan yang tidak mencukupi telah menjadi sebab kepada kelemahan struktur pesawat yang malang itu.
Maka disebabkan itu, syarikat penerbangan mengamalkan pendekatan yang lebih berwaspada melalui penilaian menyeluruh setelah mencapai separuh daripada jangka hayatnya untuk menentukan sama ada ia lebih bernilai sebagai alat ganti atau masih sesuai beroperasi.
Selain faktor keselamatan, pertimbangan kos operasi yang tinggi turut menjadi alasan utama pesawat tertentu dihentikan perkhidmatannya.
Contohnya, Malaysia Airlines pernah memiliki sebanyak enam kapal terbang Airbus A380 yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia akhirnya terpaksa dihentikan operasi apabila ada kapal terbang yang lebih baik muncul di pasaran seperti Airbus A350 dan Boeing 787 Dreamliner.
Walaupun Airbus A380 mampu membawa penumpang sehingga 800 orang, ia menggunakan lebih banyak bahan api berbanding model lain yang lebih kecil dan cekap.
Sebagai contoh, Airbus A350 mampu menjimatkan sehingga 25 peratus lebih bahan api berbanding A380 yang menjadikannya pilihan lebih praktikal untuk laluan jarak jauh dengan membawa jumlah penumpang hampir 400 orang.
Selain itu, kos penyelenggaraan kapal terbang A380 juga jauh lebih tinggi kerana ia mempunyai empat enjin berbanding A350 dan Boeing 787 yang hanya dua enjin, pastinya bilangan enjin yang rendah dapat lebih menjimatkan kos dan lebih mudah diselenggara.
Oleh sebab itu, keputusan ini dibuat demi mengurangkan kos operasi dan menyesuaikan syarikat dengan keperluan pasaran yang lebih kompetitif bagi memastikan daya tahan syarikat dalam menghadapi persaingan industri penerbangan yang semakin sengit dan menyesuaikan strategi perniagaan untuk kekal relevan.
Isu teknologi usang turut menjadi punca pesawat tertentu dihentikan penggunaannya.
Dunia penerbangan sentiasa berkembang pesat dengan kemunculan pesawat yang dilengkapi teknologi terkini yang lebih cekap, lebih ringan dan mesra alam menyebabkan pesawat lama tidak dapat bersaing dengan kemampuan yang sama.
Pesawat lama yang tidak lagi dilengkapi sistem moden seperti kawalan penerbangan canggih, sistem navigasi terkini dan keupayaan penggunaan bahan api yang lebih efisien akhirnya dianggap ketinggalan zaman.

Pesawat-pesawat dengan keupayaan terkini menawarkan kos penyelenggaraan yang lebih rendah dan keupayaan yang lebih baik.
Sebagai contoh, kapal terbang seperti McDonnell Douglas DC-10 yang popular pada era 1970-an akhirnya terpaksa dihentikan berikutan pengenalan kapal terbang yang lebih moden dan efisien seperti Boeing 777 dan Airbus A330 pada 1990-an yang lebih menjimatkan bahan api dan mempunyai teknologi yang lebih maju.
Jadi ke manakah perginya pesawat-pesawat yang telah lama ini selepas ia tidak lagi mampu memenuhi keperluan pasaran penerbangan global?
Dalam banyak situasi, pesawat-pesawat ini akan dihantar ke tempat penyimpanan khas yang dikenali sebagai “boneyards”.
Tempat-tempat ini biasanya terletak di kawasan kering dan beriklim panas seperti Davis-Monthan Air Force Base di Arizona, Mojave Air and Space Port di California, Alice Springs Airport di Australia serta pusat penyimpanan jangka panjang di Tarbes, Perancis untuk mengurangkan risiko kakisan dan kerosakan akibat kelembapan.
Pesawat-pesawat yang dihantar ke sini biasanya disimpan untuk tujuan penyelenggaraan, pelucutan komponen atau pelupusan secara sistematik.
Di lokasi ini, pesawat akan melalui beberapa proses penting.
Tangki bahan api akan dikosongkan bagi mengelakkan kebocoran, bahagian dalaman akan dibersihkan untuk mencegah kerosakan dan enjin serta komponen berharga lain akan ditanggalkan untuk digunakan semula atau dijual sebagai alat ganti.
Bahagian luar fiuslaj akan dibersihkan selain dilapisi bahan pelindung dengan cat khas dan setiap bukaan yang ada seperti tingkap akan ditutup untuk mengelakkan kerosakan.
Namun, tidak semua pesawat yang dihantar ke ‘boneyards’ berakhir sebagai besi buruk.
Sesetengah pesawat yang masih berada dalam keadaan baik akan diberi peluang kedua.
Pesawat-pesawat ini ada yang dijual kepada syarikat penerbangan di negara-negara yang mempunyai peraturan penerbangan yang kurang ketat seperti negara-negara di Afrika, Asia Tengah dan Amerika Selatan yang masih menggunakan pesawat lama untuk laluan domestik atau jarak pendek.
Selain itu, pesawat bersaiz besar seperti Boeing 747 diubah suai menjadi pesawat kargo kerana ruangnya yang luas mampu membawa muatan yang besar.
Terdapat juga pesawat kecil yang memenuhi keperluan khusus di kawasan tertentu.
Sebagai contoh, pesawat Fokker 100 yang terkenal dengan ketahanan strukturnya sering digunakan di kawasan terpencil seperti tapak perlombongan di pedalaman Australia.
Ada juga pesawat yang mendapat penghormatan istimewa dengan dijadikan bahan pameran di muzium.
Antara model kapal terbang yang menonjol ialah kapal terbang supersonik Concorde, bukti teknologi terkedepan berbanding zamannya yang pernah menjadi simbol penerbangan mewah dan luar biasa.
Bagi majoriti pesawat yang tidak lagi diperlukan, proses pelucutan komponen adalah langkah seterusnya.
Industri ini dianggarkan bernilai sekitar AS$6 bilion pada 2022 dan dijangka akan meningkat dengan anggaran lebih daripada 11,000 pesawat dijangka akan bersara dalam tempoh satu dekad akan datang.
Komponen pesawat seperti enjin, peralatan avionik dan sistem kawalan penerbangan masih mempunyai nilai tinggi dan sering dijual sebagai alat ganti untuk pesawat yang masih beroperasi.
Sebagai perbandingan, harga sebuah enjin pesawat baru seperti Rolls-Royce Trent 1000 yang digunakan pada pesawat Boeing 787 boleh mencecah sehingga AS$20 juta, manakala enjin yang dikeluarkan daripada pesawat yang sudah tidak beroperasi masih boleh dijual pada harga separuh daripada nilai tersebut jika berada dalam keadaan baik.
Selain enjin, bahagian lain yang dinilai tinggi ialah winglets iaitu hujung sayap pesawat daripada sebuah Boeing 737 yang telah bersara.
Bahagian ini sahaja boleh dijual dengan harga setinggi AS$650,000 pasaran alat ganti.
Selain dileraikan untuk komponen, beberapa pesawat mendapat ‘kehidupan kedua’ yang unik.
Di Sweden, sebuah Boeing 747 yang telah bersara telah diubah suai menjadi hotel berhampiran Lapangan Terbang Arlanda dengan bilik yang direka khas dalam kokpit dan kabin ekonomi.
Di Rustavi Georgia, kanak-kanak berpeluang duduk belajar di tadika yang menjadikan kapal terbang Yakovlev 42 sebagai kelas pembelajaran.
Di Zurich, Switzerland, sebuah pesawat era Soviet jenis Ilyushin Il-14 telah diubah suai menjadi restoran mewah yang menawarkan pengalaman makan yang unik.
Sementara itu, di Taupo, New Zealand, sebuah pesawat lama jenis Douglas DC-3 telah dijadikan restoran McDonald’s yang menarik perhatian ramai pelancong kerana keunikan lokasinya yang berada dalam kabin pesawat.
Lebih menarik lagi, sebuah pesawat Malaysia Airlines Boeing 747 yang telah tamat perkhidmatannya telah ditenggelamkan di perairan Bahrain dan dijadikan terumbu karang buatan untuk menarik hidupan marin dan menjadi lokasi menyelam yang unik.
Pada akhirnya, “kemalapan” pesawat kapal terbang bukanlah sesuatu yang dilupakan, ia meninggalkan legasi dan jasa yang akan dikenang selama-lamanya dalam perjalanan seterusnya dalam pelbagai situasi yang bermanfaat.
● Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.