
KUALA LUMPUR: Dalam industri estetik yang sentiasa berubah dan berevolusi, trend rawatan berasaskan penyejukan atau cryotherapy semakin diterokai dalam kalangan pengamal estetik dan pesakit yang mencari alternatif kepada prosedur konvensional.
Kalau dahulu ia digunakan dalam pemulihan sukan dan terapi fizikal, cryotherapy kini berkembang menjadi satu pendekatan baharu dalam rawatan kecantikan, khususnya untuk mengatasi masalah kulit sensitif, keradangan serta mempercepatkan proses pemulihan selepas prosedur estetik.
Pengamal perubatan estetik Dr Lim Ting Song berkata teknologi ini merupakan alat sokongan yang mampu mengurangkan rasa sakit dan bengkak selepas rawatan kecantikan melibatkan suntikan atau prosedur invasif lain yang menyakitkan dan memerlukan tempoh pemulihan panjang.
Selain membantu kulit sembuh lebih cepat, rawatan itu juga berpotensi membantu proses pemulihan kulit dan mengurangkan ketidakselesaan selepas rawatan estetik melibatkan prosedur pembedahan atau suntikan, katanya.
“Antara pendekatan baharu yang diperkenalkan ialah teknologi penyejukan bertekanan tinggi yang mula diperkenalkan di beberapa klinik estetik tempatan sebagai sokongan kepada rawatan invasif atau suntikan,” katanya ketika ditemui Bernama pada majlis pelancaran TargetCool baru-baru ini.
Teknologi rawatan berasaskan penyejukan menggunakan peranti TargetCool itu dikembangkan di Korea Selatan dan diedarkan oleh BTL Aesthetics, dan kini boleh didapati di klinik estetik terpilih negara ini.
Mengulas teknologi alat itu, Dr Lim berkata sebelum ini ramai percaya kulit perlu ‘disakiti’ untuk merangsang regenerasi, namun pendekatan sedemikian kurang sesuai untuk kulit Asia yang cenderung mengalami masalah sensitif, jerawat atau pigmentasi.
“Teknologi ini dikatakan tidak menyebabkan kerengsaan kulit, malah digunakan untuk memberi kesan penyejukan yang menenangkan dan membantu mengekalkan keseimbangan kulit sambil membaiki strukturnya secara semula jadi,” katanya.
Pengarah Perubatan Clique Clinic Malaysia itu berkata teknologi itu juga dilihat sebagai pelengkap kepada rejim penjagaan kulit yang sedia ada, terutama bagi mereka yang mengalami kesan sensitiviti terhadap produk tertentu.
Sementara itu seorang lagi pengamal perubatan estetik Dr Angeline Wong berpandangan trend rawatan estetik di Malaysia kini berkembang pesat dengan teknologi baharu yang cepat diterima, setanding negara maju dengan kos lebih berpatutan.
“Rawatan kini lebih holistik. Bukan sekadar wajah, tetapi juga tangan, belakang badan dan kawasan intim,” katanya.
Beliau berkata pilihan rawatan bergantung pada keperluan dan kemampuan kewangan pesakit bagi memastikan hasil yang sepadan dengan jangkaan serta keadaan fizikal mereka.
Dr Wong yang juga Pengasas dan Pengarah Perubatan Neu Clinic Malaysia berkata walaupun rawatan estetik makin diterima pemilihannya tetap mengikut keselesaan individu.
“Ramai pesakit, termasuk wanita Muslim, lebih selesa dengan rawatan minimum. Saya selalu ingatkan, kalau tak yakin, jangan teruskan. Rawatan mesti ikut keyakinan dan kesediaan masing-masing,” katanya.
–Bernama