DATUK Seri Dr Adham Baba yang juga Ahli Parlimen Tenggara menunjukkan pembayaran secara E-wallet di
Pasa raya Song Mart selepas melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat
Parlimen Tenggara di perkarangan pasaraya itu semalam. •Foto BERNAMA
KOTA TINGGI: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menggunakan teknologi yang dibangunkan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi mengenal pasti lokaliti cenderung dilanda banjir sekali gus dapat membuat persiapan awal untuk berdepan dengan bencana itu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata menerusi teknologi itu MYSA akan menggunakan satelit untuk pencerapan data melalui kaedah radar dan optik di lokasi yang pernah berlaku banjir mengikut pengalaman 10 tahun.
Beliau berkata, teknologi berkenaan dijadual untuk dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di MRANTI Park di Kuala Lumpur, Khamis ini.
“MOSTI melalui MYSA sudah ada data lokasi yang dilanda banjir sebelum ini. Jadi dengan adanya ukuran hujan dan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) kita akan maklumkan kepada kerajaan potensi berlaku banjir sekiranya monsun ini datang, supaya dapat dibuat persediaan lebih awal.
“Teknologi ini akan dibentangkan kepada Perdana Menteri untuk pandangan beliau supaya boleh digunakan, diadaptasi dan diterima oleh semua kementerian dan pelbagai agensi berkaitan secara holistik,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) dan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) Peringkat Parlimen Tenggara di Bandar Tenggara di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor Mohd Hairul Anuar Bohro.
Dr Adham berkata pihaknya turut akan mencadangkan penggunaan teknologi dron untuk membantu mengesan mangsa terputus hubungan di lokaliti terpencil akibat gangguan bekalan elektrik sekiranya berlaku banjir supaya memudahkan urusan pemindahan mangsa.
“Apabila ada teknologi dan persiapan sebegini ia dapat membantu negara mengenal pasti apakah bentuk pertolonagn dan bantuan yang boleh disalurkan sebelum bencana berlaku. MOSTI juga sudah berbincang dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai Pusat Pemindahan Sementara bagi mengelak berlaku masalah jauh, kesesakan dan sebagainya,” katanya.
Ahli Parlimen Tenggara itu berkata demikian ketika mengulas mengenai persediaan MOSTI menghadapi Fasa Peralihan Monsun di negara ini yang dijangka bermula hari ini (3 Oktober) hingga November ini.
Berhubung program ReDI, Dr Adham berkata ia merupakan langkah proaktif dan menjadi cara baharu masyarakat luar bandar menggunakan inisiatif tanpa tunai untuk membeli barangan harian.
“Dengan adanya ReDI kita dapat maklum akan tingkah laku masyarakat sebelum dan selepas pandemik dalam penggunaan adaptasi pendigitalan yang dilihat semakin meningkat. Ini sekali gus akan menambahkan lagi minat kecenderungan masyarakat dalam pendigitalan,” katanya.
ReDI merupakan program kolaboratif KPDNHEP bersama kerajaan negeri, rakan strategik seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Paynet, ShopeePay, GrabPay, Maybank, Touch & Go, Boost dan Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara dengan menyasarkan 15,000 peniaga beralih ke platform digital menjelang tahun 2025. – Bernama