
PAKAN: Pendekatan komersial dalam pertanian serta penerimaan teknologi pertanian moden harus diterapkan dalam minda komuniti tani, kata Menteri Industri Makanan Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.
Katanya, ia bertujuan agar semua aktiviti pertanian dilaksanakan dengan pendekatan berasaskan hasil yang bermatlamatkan wang ringgit.

“Di Sarawak, komuniti tani dan luar bandar adalah merupakan antara nadi yang menggerakkan pembangunan ekonomi di Sarawak.
“Justeru, komuniti tani dan luar bandar di Sarawak haruslah bersedia untuk mengubah minda mereka dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Agrofest Pakan 2025 bertempat di Stadium Pakan, hari ini.
Katanya, persepsi dikalangan belia bahawa aktiviti pertanian sering kali dikaitkan dengan gaji rendah, kerja berat di bawah panas dan hujan serta memberi pulangan pendapatan yang rendah dan dianggap sebagai pilihan terakhir perlu di ubah.

“Pemikiran ini adalah salah. Pada hakikatnya, pertanian adalah sumber pendapatan yang baik kepada komuniti tani dengan syarat petani tersebut mesti bersedia untuk mengubah minda dan pandangan mereka melalui penggunaan teknologi moden serta mengeluarkan produk berdasarkan keperluan pasaran dari segi kuantiti, kualiti dan ketepatan masa pembekalan.
“Paling penting, petani mesti mempunyai budaya kerja yang berdisiplin dengan beranggapan aktiviti pertanian sebagai satu perniagaan dan sensitif kepada kos dan keuntungan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Bahagian Sarikei sememangnya dikenali dengan tanaman-tanaman seperti lada dan sawit.
“Kawasan ini adalah sesuai bagi tujuan pembangunan tanaman-tanaman tersebut.
“Sehubungan itu, kementerian saya telah memberi fokus kepada Bahagian Sarikei sebagai kawasan pengeluaran utama bagi tanaman lada dan kelapa sawit,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek