SIBU: Perubahan teknologi dan kemunculan media sosial tidak menjadikan kewartawanan profesional lapuk kerana berita bukan sekadar berkaitan akhbar, sebaliknya melibatkan penyampaian maklumat yang benar, sahih dan boleh dipercayai.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata masyarakat masih memerlukan wartawan profesional bagi membezakan fakta daripada khabar angin, berita palsu dan maklumat tidak disahkan yang semakin mudah tersebar menerusi internet.
“Sesetengah orang mungkin berkata, sekarang zaman apa? Akhbar sudah lapuk dan siapa lagi membaca berita?
“Tetapi berita bukan sekadar mengenai akhbar. Ia mengenai maklumat yang boleh dipercayai. Tanpa kewartawanan profesional, masyarakat mudah bergantung kepada khabar angin dan maklumat yang tidak lengkap di media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) bersama Persatuan Wartawan Sibu (SJA) di sini, semalam.
Tiang berkata, prinsip semakan dan pengesahan fakta sebelum sesuatu berita diterbitkan kekal sebagai tanggungjawab asas wartawan, khususnya dalam menghadapi lambakan berita palsu dan kandungan daripada sumber tidak sahih.
“Lebih baik sedikit lewat dengan kebenaran daripada menjadi yang pertama dengan sesuatu yang salah. Itulah tanggungjawab minimum dan penghormatan yang kita berikan kepada pembaca,” katanya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu, teknologi mungkin mengubah cara berita dihasilkan dan disampaikan, namun tidak mampu menggantikan integriti, pertimbangan profesional dan kredibiliti wartawan.
Beliau berkata, media juga memainkan peranan dua hala dengan menyampaikan dasar dan maklumat kerajaan kepada rakyat, selain membawa suara serta kebimbangan masyarakat kepada kerajaan.
Tiang turut menghargai kerjasama media Sibu dalam membuat liputan mengenai projek pembangunan di kawasannya dan berkata beliau mengutamakan ketelusan, termasuk dalam memberikan maklumat mengenai kos projek serta jumlah peruntukan.
Katanya, kritikan masyarakat terhadap isu pembangunan juga perlu didengar dan sekiranya berasas serta membina, kerajaan perlu bersedia melakukan penyesuaian sewajarnya.
Beliau turut mengimbau peranan wartawan ketika pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 2021 apabila petugas media terus berada di lapangan untuk menyalurkan maklumat kepada masyarakat meskipun berdepan risiko.
Pada majlis itu, Tiang mengumumkan akan menaja pemeriksaan kesihatan percuma kepada kesemua 40 ahli SJA sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka.
Beliau berkata, langkah itu juga bertujuan menggalakkan wartawan menjaga kesihatan memandangkan profesion berkenaan sering melibatkan waktu kerja yang panjang, tekanan tarikh akhir dan tugasan sehingga lewat malam.
Oleh Tarani Lanting



