
MIRI: Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Makhzan Mahyuddin telah mengadakan lawatan kerja rasmi selama dua hari ke Sarawak bagi meninjau isu kesesakan di pintu masuk antarabangsa Sarawak, Malaysia–Brunei Darussalam, semalam.
KDN akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk kelancaran pergerakan di sempadan dan langkah-langkah proaktif akan diambil bagi menangani isu kesesakan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, lawatan itu memberi tumpuan kepada persediaan pengambilalihan kawalan sempadan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Katanya, hari pertama paada 26 Ogos lalu, Datuk Makhzan telah melawat beberapa Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) termasuk IQS Merapok, ICQS Mengkalap dan ICQS Pandaruan.
“Sesi lawatan ini bertujuan untuk memahami secara langsung operasi harian serta cabaran yang dihadapi oleh para petugas di lokasi-lokasi tersebut.
”Lawatan diteruskan hari kedua, kunjungan ke Kampung Pendam, Limbang sebelum melawat ICQS Tedungan.
“Perhentian seterusnya ke ICQS Sungai Tujoh, Miri, di mana beliau meneruskan agenda yang sama iaitu meneliti isu-isu operasi dan kesesakan,” jelas kenyataan tersebut.

Tambahnya, kunjungan tersebut penting memandangkan kedua-dua pintu masuk ini merupakan laluan utama bagi pergerakan rentas sempadan yang tinggi terutamanya pada musim percutian dan cuti umum.
”Sepanjang lawatan, Datuk Makhzan telah diberikan taklimat terperinci mengenai operasi harian di setiap ICQS, termasuk kekuatan pegawai dan aset yang sedia ada.
“Beliau juga mengadakan sesi soal jawab bersama pegawai-pegawai bertugas untuk memahami cabaran-cabaran yang dihadapi di lapangan.
“Maklumat ini penting untuk merangka strategi yang lebih baik, termasuk cadangan penggunaan teknologi baharu seperti aplikasi imbasan kod QR serta menaiktaraf fasiliti bagi mempercepatkan proses pemeriksaan di pintu masuk,” katanya.
Justeru itu, ini membuktikan komitmen KDN dalam memastikan setiap pintu masuk negara beroperasi dengan lebih cekap serta menitikberatkan keselamatan negara.
Hadir sama Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Dr Hebat Hisham Mohd Yusoff serta rombongan pegawai kanan KDN.
Oleh Adum Liu