TANJUNG MANIS: Penanaman secara fertigasi merupakan kaedah penanaman baharu yang menarik minat usahawan dan petani moden yang terlibat dalam bidang pertanian.
Teknologi fertigasi telah terbukti memberi kesan yang baik pada tanaman cili dan sayur-sayuran.
Permintaan petani dan usahawan untuk menggunakan sistem ini semakin meningkat, terutama untuk penanaman cili.
Menariknya, kaedah penanaman cili secara fertigasi tidak memerlukan tapak yang luas, sangat bersistematik dan menjimatkan kos.
Selain itu, penanaman cili secara fertigasi juga mampu menambah pendapatan kepada usahawan dan petani.
Malah, ia juga boleh diusahakan di kawasan lapang ditepi rumah sahaja.
Hobi dan minat mendalam Wanita PBB Ranting Kampung Jerijeh dengan penanaman cili secara fertigasi kini ternyata membuahkan hasil lumayan.
Ia dijalankan secara berkumpulan dan membuahkan hasil lumayan, sekali gus menyerlahkan potensi besar kaedah tanaman cili fertigasi pada masa depan.
Segalanya bermula setelah Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Jerijeh menjalani Kursus Penanaman Cili Secara Fertigasi yang merupakan anjuran Pusat Khidmat PBB N41 Kuala Rajang, tahun lalu.
Sebanyak empat rumah SPH disedia- kan untuk penanaman cili secara fertigasi di Kampung Jerijeh yang berkeluasan 12,800 kaki persegi.
Namun buat masa ini, hanya tiga rumah SPH berkeluasan 9,600 kaki persegi digunakan untuk penanaman cili secara fertigasi dan mengandungi 2,160 polibeg cili.
Isnin lalu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh telah menjalankan lawatan dan tinjauan di tapak penanaman cili tersebut.
Beliau melahirkan perasaan bangga dan gembira dengan usaha penanaman cili fertigasi yang dilakukan oleh Wanita PBB Ranting Kampung Jerijeh.
Datu Len yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang turut meninjau hasil tanaman cili fertigasi yang diusahakan oleh seorang penduduk yang terawal menggunakan kaedah penanaman cili fertigasi.
Norida Buyu hingga kini telah menanam lebih 500 pokok cili di halaman rumahnya dan mampu mengeluarkan hasil lumayan untuk menjana pendapatan keluarganya.
Oleh EARL ANEK