
BINTULU: Pendekatan pelaksanaan projek di Sarawak perlu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian digital, bagi meningkatkan kecekapan serta mengelakkan kelewatan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr Cassidy Morris berkata, banyak kaedah dan sistem terdahulu kini tidak lagi relevan dalam konteks pembangunan pasca pandemik, justeru pelaksanaan perlu disesuaikan dengan cabaran semasa.
“Kita sekarang berada dalam era digital dan era AI. Banyak perkara yang dahulu sesuai, sekarang sudah tidak relevan.
“Maka kita perlu pendekatan baharu dalam pengurusan dan pelaksanaan projek,” katanya ketika berucap pada majlis Apresiasi JKR Sarawak di sebuah hotel di sini semalam.
Justeru, katanya, Persidangan Jurutera Bahagian ke-22 yang kembali dianjurkan selepas kali terakhir diadakan pada 2019 berperanan sebagai platform strategik bagi jurutera JKR seluruh Sarawak untuk membentangkan perancangan, menyelaras pelaksanaan serta memperkukuh kerjasama antara bahagian dan ibu pejabat.
“Persidangan ini memberi ruang kepada jurutera bahagian membentangkan pelan masing-masing, dan pihak ibu pejabat pula menyokong dari segi nasihat serta bantuan teknikal. Ia juga penting untuk kita bertemu secara fizikal dan mengilhamkan strategi baharu,” katanya.
Katanya, pendekatan tersebut akan membantu memastikan projek yang sedang dan bakal dilaksanakan berjalan lancar khususnya dalam konteks integrasi teknologi, penyelarasan agensi dan pengurusan sumber.
Beliau memberitahu, Sibu akan menjadi tuan rumah Persidangan Jurutera Bahagian tahun hadapan, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai jurutera untuk menyertai dan menyumbang kepada hala tuju pembangunan negeri secara kolektif.
Oleh Carolyne Utih