
KUCHING: Pendidikan berkualiti dan berteraskan teknologi menjadi fokus utama kerajaan Sarawak dalam membentuk generasi masa depan yang holistik, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran global.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata sistem pendidikan masa kini perlu seiring kemajuan teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh daya saing pelajar dan memperluas akses ilmu.
“Teknologi seperti ChatGPT dan DeepSeek bukan pengganti guru, tetapi pelengkap kepada pembelajaran. Ia membantu pelajar berfikir secara kritikal dan belajar secara kendiri,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kaunselor Tan Kai.
Kaunselor Tan Kai mewakili beliau menyempurnakan majlis sambutan Hari Guru dan penyampaian insentif murid cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Arang, bertempat di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng, hari ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pelajar SPM 2024 yang diraikan dan mengingatkan mereka agar menjadikan kejayaan ini sebagai langkah pertama ke arah masa depan yang lebih cemerlang.
“Jadikan pencapaian hari ini sebagai motivasi untuk terus melangkah lebih jauh. Sarawak memerlukan anak muda yang berani bermimpi besar dan kembali menyumbang kepada negeri,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga berkongsi pelbagai usaha dan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi memastikan peluang pendidikan tinggi terus terbuka luas untuk semua anak Bumi Kenyalang tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
Antara inisiatif yang ditekankan ialah bantuan tunai RM1,200 kepada pelajar Sarawak yang melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara disalurkan menerusi Yayasan Sarawak dan melalui aplikasi SPay Global.
Beliau turut memaklumkan mengenai yuran pengajian percuma dan elaun RM15,000 setahun untuk pelajar daripada keluarga B40 yang diterima masuk ke institusi milik kerajaan Sarawak bermula 2026.
“Semua pelajar digalakkan untuk mendaftar Sarawak ID dan SPay Global bagi melayakkan diri menerima bantuan yang disediakan,” tambahnya lagi.
Majlis diserikan dengan penyampaian insentif kepada 72 orang pelajar cemerlang SPM 2024 serta penghargaan kepada para guru dan ibu bapa atas sokongan berterusan dalam memacu kejayaan sekolah.
-UKAS