
SARIKEI: Teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi keperluan penting yang perlu dipelajari masyarakat termasuk murid di kawasan pedalaman agar tidak ketinggalan dalam arus perkembangan dunia digital.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, murid luar bandar juga perlu diberi pendedahan kepada teknologi moden kerana dunia hari ini berkembang pesat dengan penggunaan teknologi dan AI.
“Saya sangat percaya kepada SK Nanga Ensiring dan berharap mereka dapat mempelajari teknologi baharu seperti AI.
“Ini kerana dunia kita banyak berubah terutamanya teknologi yang semakin berkembang.
“Saya harap kita tidak ketinggalan daripada keperluan berterusan untuk teknologi dalam dunia global,” katanya ketika berucap pada Program Hari Keluarga Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ensiring, baru-baru ini.
Dalam pada itu, katanya, antara cabaran yang dihadapi sekolah tersebut ialah jumlah murid yang semakin berkurangan disebabkan ramai ibu bapa kini tinggal di bandar untuk bekerja.
“Lokasi sekolah yang jauh di kawasan hulu sungai turut menjadi faktor kepada pengurangan bilangan murid di sekolah ini.
“Oleh itu, kita adakan program Hari Keluarga SK Nanga Ensiring di Sarikei,” katanya.
Di program tersebut, beliau turut memperuntukkan sebanyak RM15,000 kepada SK Nanga Ensiring bagi membantu pelaksanaan aktiviti tahunan sekolah.
Oleh Earl Anek