PETRA JAYA: Pukulan ‘hook’ atau cangkuk menjadi senjata rahsia Daeloniel McDelon Bong atau “Kilat Boy” apabila beliau berjaya menumbangkan peninju Indonesia, Boido Simanjuntak, dalam Kejohanan Pertarungan Rentap (Rentap FC) di Stadium Perpaduan di sini, malam tadi.
Kilat Boy mencatat kemenangan ‘knockout’ (KO) di pusingan ketiga setelah menggunakan strategi yang mengutamakan pukulan ‘hook’ sebagai serangan utama untuk menembusi pertahanan Boido.
Teknik tersebut dilihat berkesan dalam menundukkan lawannya yang merupakan seorang veteran berpengalaman.
Pukulan ‘hook’ yang dikenali sebagai teknik memutar tangan ke sisi ini bukan sahaja mampu menghasilkan daya hentakan tinggi tetapi juga memberikan kelebihan dalam jarak dekat, sesuatu yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kilat Boy.
“Saya banyak menggunakan pukulan ‘hook’ kerana ia merupakan senjata utama saya dalam perlawanan ini.
“Strategi saya adalah untuk terus menyerang dengan ‘hook’ sambil melakukan serangan balas dengan pukulan lurus (straight punch).
“Gabungan ini membantu saya mengawal perlawanan, terutama apabila Boido menggunakan tangan kiri yang membuat saya sedikit keliru pada pusingan pertama dan kedua,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tersebut, malam tadi.
Dalam pada itu, Kilat Boy turut mendedahkan bahawa beliau melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor yang bakal berlangsung pada 14 Februari di Johor Bahru.
“Perlawanan ini saya anggap sebagai pemanas badan untuk tahun ini,” katanya.
Selain itu, kejohanan ini turut menyaksikan Miki Ghazali, adik kepada Johan Ghazali, mencatatkan kemenangan pertamanya dalam debut perlawanan tinju menentang peninju dari Indonesia, Mustakim.
Pada masa sama, perlawanan Juara Kebangsaan Kategori Bantamweight turut mencuri tumpuan apabila atlet muay thai dari Sarawak, Hasbullah berjaya dinobatkan sebagai juara apabila menewaskan Amirul dari Pulau Pinang.
Turut hadir bagi menyaksikan kejohanan ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Oleh Mohd Neenatul Aizal