
LINGGA: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan agar pihak kontraktor yang melaksanakan Projek Pembinaan dan Penyiapan Jambatan Sungai Lingga serta Jalan Penghubung (Pakej B1A) dapat menyiapkan baki kerja dengan segera tanpa menjejaskan aspek kualiti dan keselamatan.
Beliau berkata, meskipun projek berkenaan hampir siap sepenuhnya, keutamaan terhadap standard kerja dan keselamatan perlu terus dipertahankan bagi memastikan struktur yang dibina memenuhi piawaian ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Projek ini amat penting kepada rakyat dan kerajaan negeri tidak mahu sebarang kelewatan atau masalah teknikal menjejaskan kualiti serta keselamatan pengguna pada masa depan,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke tapak projek pembinaan Jambatan Sungai Lingga dekat sini, hari ini.

Projek bernilai RM92.36 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan ini dan merupakan antara projek strategik di bawah Jalan Utama Kedua (STR) Sarawak, yang bertujuan memperkukuh jaringan jalan raya utama di kawasan tengah negeri.
Skop projek melibatkan pembinaan jambatan dua lorong sehala jenis julur seimbang (balanced cantilever) merentasi Sungai Lingga dengan panjang keseluruhan 724.86 meter (m), saluran pelayaran selebar 100 m dan tinggi 15 m, selain jalan penghubung sepanjang 325.14 m yang dibina mengikut piawaian JKR R5 Standard.
Turut disediakan ialah sistem saliran, perabot jalan dan penghadang keselamatan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya apabila ia mula beroperasi kelak.

Projek tersebut akan menjadi penghubung penting antara Sebuyau dan Sri Aman melalui Lingga, sekali gus melengkapkan bahagian sambungan yang belum siap dalam rangkaian jalan raya di kawasan tengah Sarawak.
Selain meningkatkan mobiliti penduduk, projek itu juga dijangka merangsang pembangunan ekonomi tempatan melalui pembukaan akses baharu kepada aktiviti perdagangan, pertanian dan pelancongan.
“Apabila siap sepenuhnya, jambatan ini akan memberi impak besar kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya, seterusnya menyokong aspirasi pembangunan negeri yang inklusif dan mampan,” tambah Uggah.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk JKR Sarawak dan kontraktor pelaksana atas usaha memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Oleh Adi Safarman