
KUCHING: Penduduk di Lorong Sungai Tapang 3 berdepan masalah tekanan air rendah secara berterusan sejak Januari lalu, malah terdapat isi rumah yang mengalami gangguan bekalan air sepenuhnya pada waktu tertentu.
Pembantu khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian, berkata keadaan itu menjejaskan keperluan asas harian penduduk termasuk memasak, membersih dan menjaga kebersihan diri.
“Akses kepada bekalan air yang stabil adalah keperluan asas. Keadaan ini tidak boleh diterima apabila penduduk terpaksa berdepan masalah berbulan-bulan tanpa penyelesaian berkekalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menggesa Sarawak Water agar segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan bagi memastikan penduduk menerima bekalan air yang konsisten dan mencukupi.
Menurutnya, masalah tersebut bukan kes terpencil kerana penduduk di sekitar Batu 7, termasuk Jalan Sungai Tapang, Jalan Stakan dan Jalan Jamboree, turut mengemukakan aduan sama mengenai tekanan air rendah.
“Ini jelas menunjukkan wujudnya masalah sistemik yang memerlukan penyelesaian menyeluruh dan jangka panjang,” katanya.
Michael Kong berkata antara kebimbangan penduduk ialah sistem bekalan air sedia ada, di mana meter air dipasang jauh dari rumah dan bekalan disalurkan melalui paip PVC hitam yang panjang.
“Apabila air mengalir dalam jarak jauh, tekanan akan menurun sebelum sampai ke rumah,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Sarawak Water mempertimbangkan menaik taraf infrastruktur sedia ada, termasuk memasang paip berkapasiti lebih besar serta memindahkan titik bekalan air lebih dekat ke kawasan perumahan.
Oleh Connie Chieng