TEMPOH hayat Parlimen atau Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang, akan berakhir pada Mei 2023.
Enam puluh hari selepas itu, wajib diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) andai Parlimen tidak dibubar sebelum Mei tahun depan.
Maknanya, Julai 2023 paling lewat PRU-15 wajib diadakan.
Kebiasaannya Parlimen dibubar sebelum genap lima tahun. Ini juga bermakna, genap 12 bulan lagi riwayat kerajaan yang ada, dan tempohnya mungkin lebih pendek andai Parlimen dibubar lebih awal.
Sejak PRU-14 pada 9 Mei 2018 hingga kini, negara dipimpin oleh tiga Perdana Menteri bermula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (22 bulan ketika Pakatan Harapan memerintah), disusuli Tan Sri Muhyiddin Yassin (17 bulan Perikatan Nasional memerintah) dan Ismail Sabri mengambil alih mulai 20 Ogos 2021 hingga sekarang iaitu kerajaan diterajui UMNO.
Ogos ini, genap 12 bulan, Ismail Sabri memimpin negara. Jika PRU-15 diadakan dalam tahun ini, bermakna Ismail Sabri bakal pecah rekod sebagai Perdana Menteri paling pendek tempoh memerintah.
Jika tiada pilihan raya tahun ini, maka menjelang Januari tahun depan, usia jawatan Perdana Menteri dipegang Ismail Sabri adalah 17 bulan, menyamai rekod Muhyiddin.
Kini, bukan sahaja heboh teka-teki tarikh PRU-15, malah siapa pula bakal menjadi Perdana Menteri ke-10?
Apakah akan ada Perdana Menteri baharu atau ada yang bakal menyamai rekod Dr Mahathir memegang jawatan itu sebanyak dua kali andai impian Muhyiddin dan Datuk Seri Najib Razak menjadi kenyataan atau Ismail Sabri terpilih semula?. Atau ada lagi nak pecah rekod baharu Asia Tenggara, pegang jawatan itu untuk kali ke-3?
Rekod dunia masih dipegang oleh Indira Gandhi yang berjaya memegang jawatan sebagai Perdana Menteri India sebanyak empat kali.
Lain pula kisah di Pakistan – tiada Perdana Menteri berjaya menamatkan tempoh lima tahun dalam sejarah 75 tahun. Dalam tempoh itu, 29 orang pernah memegang jawatan Perdana Menteri sejak 1947, termasuk seorang menyandangnya dua kali pada tahun sama. Tempoh paling singkat ialah dua minggu jadi Perdana Menteri dan paling lama, empat tahun dua bulan.
Imran Khan, kawan rapat Dr Mahathir, disingkirkan daripada jawatan Perdana Menteri Pakistan April lalu selepas beliau kalah undi tidak percaya di Parlimen berikutan kemelut politik negara itu.
Bekas bintang kriket antarabangsa berusia 69 tahun itu hanya memegang tampuk pemerintahan selama tiga tahun setengah.
Dr Mahathir kali pertama menerajui negara sebagai Perdana Menteri pada 16 Julai 1981 dan menyandang jawatan itu selama 22 tahun bersama UMNO di bawah gabungan Barisan Nasional (BN) sehingga 31 Oktober 2003.
Bila Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan BN pada 2018, Dr Mahathir sekali lagi dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi cuma selama 22 bulan apabila beliau mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut pada 24 Februari 2020.
Beliau juga meletak jawatan secara mengejut pada 22 Jun 2002 tetapi menarik balik peletakan jawatan itu sejam kemudian dengan memberi syarat ia untuk tempoh sehingga 31 Oktober 2003 sahaja. Jawatan itu kemudian diambil alih oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri kelima (2003 hingga 2009).
Berbalik kepada kisah PRU-15, disebabkan perebutan jawatan Perdana Menteri ini jugalah, banyak kelompok kepartian kini berbelah bahagi mengenai bila tarikh sesuai pilihan raya diadakan.
Ibarat permainan catur, masing-masing mengatur strategi, bagi mengelak ‘checkmate’ (terbantut) sama ada di pihak kerajaan, pembangkang atau sesama sendiri dalam kepemimpinan parti tertentu.
Ada kelompok mahu PRU-15 diadakan sekarang, dan kalau boleh mahu Parlimen dibubar terus esok.
Ada kelompok mahu ia diadakan tahun depan. Semua mahu rancang strategi tersendiri dan sudah pastinya juga, ada agenda masing-masing.
Soal PRU ini memerlukan strategi – sesuai atau tidak diadakan sekarang. Jika diadakan tahun depan, apa kelebihannya pula.
Bagi mereka yang mahu PRU-15 diadakan tahun depan pula memberi alasan negara kini berdepan pelbagai isu seperti kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi tinggi selain nilai ringgit jatuh.
Keadaan ini akan menyebabkan rakyat gelisah, marah hingga boleh membawa kepada undi protes nanti, kata mereka.
Bagi kelompok yang mahu diadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat, memberi alasan sekarang masa sesuai ketika pembangkang berada dalam kecelaruan.
Malah, ada yang minta PRU-15 ditangguhkan untuk beberapa bulan lagi sehingga fasa peralihan endemik menunjukkan tiada gelombang Covid-19 yang serius.
Percayalah, jika seseorang mahu sesuatu kerana ada agenda tersendiri, akan muncul dengan pelbagai alasan atau seperti kata orang putih ‘the end justifies the means’.
Namun, ada juga yang menyelitkan isu membabitkan ‘kluster mahkamah’ sebagai kelompok yang mahu PRU-15 diadakan segera.
Ada beberapa sebab mereka mahu diadakan PRU-15 sekarang. Antaranya menjamin mereka boleh menjadi calon dan bertanding pada PRU-15, sebelum kelayakan bertanding hilang apabila disabit kesalahan kes di mahkamah. Ada yang memasang impian menjadi Perdana Menteri.
Rentetan daripada itu, masing-masing mereka ada pengikut yang juga mengharapkan jadi calon atau jawatan menteri nanti. Bak kata bidalan, ‘bila makan mi, tidak sah tanpa udang’.
Bagi sesetengah rakyat biasa sama ada PRU-15 diadakan dalam tahun ini atau tahun depan, sama sahaja dan tidak banyak beza, meskipun ada yang menyokong untuk pilihan raya diadakan sekarang atau pada 2023.
Ada juga rakyat biasa mahukan perubahan dengan harapan kepemimpinan negara bertukar. Tukar selera, kata orang. Itu pilihan masing-masing.
Hakikatnya, sistem demokrasi berparlimen Malaysia mempunyai dua lapisan atau kaedah untuk memilih Perdana Menteri.
Pertama, rakyat memilih Ahli Parlimen ketika pilihan raya umum.
Kedua, Ahli-Ahli Parlimen memilih seorang calon dalam kalangan mereka sendiri untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Siapa yang dapat undi majoriti daripada 222 Ahli Parlimen, maka orang itulah dipilih menjadi Perdana Menteri serta diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Sebenarnya, yang kecoh pasal PRU-15 lebih tertumpu kepada parti-parti politik di Semenanjung.
Mereka bagaikan lupa ‘king maker’ sebenar adalah Sarawak dan Sabah.
Siapa penentu sebenar Muhyiddin dan Ismail Sabri boleh jadi Perdana Menteri ke-8 dan ke-9? Jawapannya adalah Sarawak atau lebih tepat lagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan ‘bersenjatakan’ 18 kerusi Parlimen.
GPS adalah gabungan empat parti tempatan Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak